Isnin, 29 Julai 2019 | 11:50am
Muhammad Adam Haikal (kanan) dan Nik Afif Faheen Abdul Aziz, 6, tetap bersemangat mengikuti Klinik UPSR BH Didik 2019 walaupun tangan bersimen. Foto: Daniel Saad.
Peserta Klinik UPSR BH Didik melaungkan kata-kata semangat yakin meraih keputusan cemerlang dalam UPSR 2019.
Antara peserta yang mengikuti Klinik UPSR BH Didik 2019 sempena Jelajah BH Didik bersama Tesco di Politeknik Seberang Perai.

Tangan bersimen bukan halangan

SEBERANG PERAI: Meskipun tangan kanan patah, dua murid tetap menghadiri Klinik Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) Jelajah BH Didik Tesco, di sini, bagi mendapatkan ilmu tambahan untuk menghadapi peperiksaan itu tidak lama lagi.

Murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Hashim Awang, Muhammad Adam Haikal Shahidan, 12, dan SK Taman Ria, Nik Afif Faheem Abdul Aziz, 12, itu adalah antara 250 pelajar yang menyertai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Tesco dengan kerjasama Jabatan Vertikal Pendidikan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP).

Muhammad Adam berkata, walaupun sukar untuk menulis kerana tangan kanannya masih berbalut, kehadiran peserta lain yang turut menyertai klinik berkenaan memberinya semangat untuk belajar.

Dia yang mengalami kecederaan itu akibat terjatuh ketika bermain bola sepak bersama rakannya berkata, panduan dan teknik yang mudah daripada penceramah menyebabkan dirinya tetap hadir pada hari kedua supaya tidak ketinggalan dalam mendapatkan ilmu.

“Penyampaian penceramah yang jelas, mudah dan menyeronokkan berjaya menarik minat saya untuk hadir selama dua hari, selain dapat berbincang bersama-sama rakan sekolah lain yang turut hadir menyertai klinik UPSR.

“Sepanjang dua hari ini, banyak ilmu baharu diperoleh dan boleh dimanfaatkan untuk menghadapi UPSR pada September depan. Saya harap mampu memperoleh 6A,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Program selama dua hari itu membabitkan subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Antara sekolah yang terbabit dalam program berkenaan ialah SK Tikam Batu, SK Sungai Ara, SK Sungai Gelugor, SK Tanjung Tokong dan SK Taman Selasih.

Lima anak kakitangan Tesco turut menyertai program berkenaan yang menyediakan kaedah belajar secara berkesan sebagai persediaan menghadapi UPSR.

Sementara itu, Nik Afif berkata, dia sangat teruja apabila terpilih menjadi peserta seminar kerana mahu mempelajari teknik baharu menjawab soalan, terutama dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.

“Program ini banyak memberikan pengetahuan kepada peserta berkaitan kaedah memilih soalan dan menjawab dengan tepat yang sangat membantu dalam memastikan pelajar tidak membuang masa ketika menjawab nanti.

“Saya lemah dalam subjek berkenaan, jadi bagi memastikan untuk mendapat keputusan terbaik, saya kerap mengulangkaji dan membuat latihan,” katanya.

Tesco ialah syarikat peruncitan antarabangsa yang beroperasi di negara ini sejak 2002 dan menjalinkan kerjasama dengan NSTP untuk menganjurkan Jelajah BH Didik Tesco sejak 2017 yang memberi manfaat kepada lebih 3,000 peserta.

info

JELAJAH DIDIK TESCO

- Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) membantu 30 sekolah tahun ini di bawah program Sekolah Angkat Tesco -Pintar.

- Seramai 750 murid Tahun Enam dan 250 pelajar Tingkatan Lima ditaja di bawah program membabitkan tiga lokasi iaitu Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang.

- Kerjasama terjalin sejak tahun 2017 dengan lebih 3,000 peserta menerima manfaat daripada program itu.

- Faber Castell turut menyumbangkan 2,000 unit pen dan pensil untuk kegunaan 1,000 pelajar yang mengikuti program Jelajah BH Didik Tesco.

Berita Harian X