Selasa, 30 Julai 2019 | 5:09pm
Pelajar Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAZA) bersama guru pembimbing , Saripah Embong (lima dari kanan) memenangi pingat emas pada World Invention Creativity Olympic Setec, Korea Selatan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM). - NSTP/Ahmad Rabiul Zulkifl

SMAZA menang emas di Korea Selatan, cipta alat pemadam kotoran

KUALA NERUS: Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAZA) mencatat sejarah apabila memenangi pingat emas pada World Invention Creativity Olympic Setec, Korea Selatan, yang berlangsung pada 24 hingga 27 Julai lalu.

Enam pelajar tingkatan empat iaitu Muhammad Hafiz Haiqal Zainudin; Ahmad Zafri Mohd Ramli; Nur Anis Farzana Abdul Malik; Zatil Hanna Zuraini; Che Nur Amni Che Rusdi dan Nurul Aisyah Mustafa, mencipta produk pemadam pelbagai kotoran yang dipanggil Mini-Eazer.

Pemadam yang dicipta menggunakan buah-buahan, tumbuhan dan bahan semula jadi itu diilhamkan Guru Pembimbing dan Penyelidik SMAZA, Saripah Embong dan Pengetuanya Engku Abdullah Engku Dalam Ahmad.

Muhammad Hafiz berkata, penggunaan pemadam pelbagai kotoran yang dicipta kumpulannya itu lebih selamat dan mesra alam berbanding penggunaan alat pemadam lain yang mengandungi bahan kimia seperti sodium, laureth dan sulfat yang biasanya ada di dalam larutan pencuci.

“Ciptaan itu diperbuat daripada buah belimbing buluh, cecair limau purut dan aloe vera (lidah buaya) serta menggunakan bahan terbuang seperti sabut kelapa, justeru ia selamat digunakan.

“Kami mengambil masa selama empat bulan untuk menyiapkannya melalui proses tertentu sebelum ia diuji terhadap semua jenis kotoran.

“Bukan saja dakwat kekal pada papan putih malah pelbagai jenis kotoran kekal dan payah dipadam seperti kesan cat juga mampu dihilangkan menggunakan ciptaan kami ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Menyambut Ketibaan Wira SMAZA di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Engku Abdullah dan Wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMAZA, Abdul Malek Muhamad.

Sementara itu, Ahmad Zafri berkata, ciptaan itu mengandungi asid oxalic yang mampu memadamkan sebarang kotoran dan ia juga anti bakteria.

“Sebanyak 30 negara termasuk China, Amerika Syarikat, Japun, Kanada, dan Korea Selatan yang mengambil bahagian berasa kagum dengan ciptaan kami.

“Kejayaan itu meningkatkan lagi semangat kami untuk mencipta lebih banyak produk inovasi bertaraf antarabangsa,” katanya.

Guru pengiring, Saripah berkata, pihaknya sudah mendaftarkan produk ciptaan terbabit di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan bercadang untuk memasarkannya secara komersial.

Beliau berkata, selain produk pemadam itu, SMAZA juga pernah memenangi tiga anugerah emas dan satu anugerah khas bagi produk menghalau lipas di 43rd International Invention Show, 14 hingga 17 November 2018 di Zagreb, Croatia.

Berita Harian X