Rabu, 31 Julai 2019 | 11:30am
Pelajar SMK Tunku Abdul Aziz menggunakan mesin pengimbas cap jari yang merekod kehadiran. - NSTP/Noorazura Abdul Rahman

Mesin pengimbas cap jari rekod kehadiran pelajar ke sekolah

ALOR SETAR: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Aziz, Simpang Empat, di sini, tampil dengan inisiatif menggunakan mesin pengimbas cap jari bagi membentuk disiplin kehadiran pelajar ke sekolah.

Pengetuanya, Nur’asikin Othman, berkata SMK Tunku Abdul Aziz dipercayai menjadi sekolah pertama di Kedah yang merekod kehadiran pelajar menggunakan mesin pengimbas cap jari.

Beliau berkata, sistem pengimbas itu dihubungkan dengan aplikasi Pepatih MySekolah yang membolehkan guru dan ibu bapa memantau waktu kedatangan 838 pelajar sekolah berkenaan.

“Sebanyak empat mesin pengimbas sudah dipasang untuk pelajar. Sejak dilancarkan pada 7 Januari lalu, mesin ini membantu pihak sekolah membentuk disiplin pelajar supaya hadir lebih awal sebelum jam 7.30 pagi dan terus ke tapak perhimpunan berikutan tiga daripadanya dipasang di pekarangan kawasan itu.

“Baki satu lagi mesin pengimbas dipasang di laluan belakang pejabat. Ia membolehkan sesi persekolahan menjadi lebih teratur, selain mengelakkan pelajar berada di dalam kelas sebelum sesi pembelajaran bermula pada jam 7.40 pagi,” katanya.

Malah, Nur’asikin berkata, beliau boleh mendapatkan rekod kehadiran pelajar setiap hari dengan lebih cepat dan mudah tanpa perlu melihat buku kedatangan.

Beliau berkata, seawal jam 7.40 pagi, beliau sudah dapat mengakses data menerusi aplikasi Pepatih MySekolah untuk melihat kehadiran di semua kelas dan tingkatan.

“Penggunaan mesin ini turut membantu pihak sekolah membendung gejala ponteng sekolah dan kelas dalam kalangan pelajar kerana ibu bapa atau waris dapat mengetahui status kehadiran anak mereka.

“Rekod kedatangan diakses melalui aplikasi Pepatih MySekolah juga menyediakan maklumat seperti prestasi pembelajaran, rekod disiplin anak, dan pengumuman daripada sekolah.

“Justeru, ibu bapa sibuk bekerja masih boleh memantau pelajaran dan disiplin anak mereka menerusi aplikasi ini di ‘Play Store’. Mereka tidak lagi perlu berjumpa pihak sekolah untuk mengetahui maklumat mengenai anak masing-masing,” katanya.

Mengulas lanjut, Nur’asikin berkata, bagi menggunakan sistem itu, ibu bapa serta waris hanya dikenakan bayaran RM15 setahun sebagai yuran tambahan dalam tabung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Sebagai contoh, walaupun seorang waris ada empat anak belajar di sekolah ini, yuran berkenaan tetap RM15 sahaja,” katanya.

Berita Harian X