Khamis, 1 Ogos 2019 | 3:47pm
SMK Tengku Mahmud, Besut menggondol empat anugerah utama menerusi inovasi mereka, D'Shell Collection pada Pesta Schoolwide Enrichment Model (SEM) yang diadakan di Perpustakaan Awam Negeri. NSTP/Mohd Aizat Shamsuddin

SMK Tengku Mahmud gondol empat anugerah

KUALA TERENGGANU: Inovasi menggunakan kulit telur terbuang dihasilkan empat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud, Besut, berjaya menggondol anugerah utama, Anugerah Emas di Pesta Schoolwide Enrichment Model (SEM) 2019.

Selain itu, SMK Tengku Mahmud juga memenangi Anugerah Khas SEM, Johan Penyampai Terbaik dan Johan Dokumentasi Terbaik.

Guru Penyelaras, Lee Sian Soo, berkata inovasi, D’Shell Collection yang dihasilkan pelajar adalah menggunakan kulit telur yang dikisar dan dibentuk untuk menghasilkan produk kraftangan.


GURU Penyelaras, Lee Sian Soo, (tiga kiri) bersama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud, Besut yang berjaya menggondol empat anugerah utama menerusi inovasi mereka, D'Shell Collection pada Pesta Schoolwide Enrichment Model (SEM) yang diadakan di Perpustakaan Awam Negeri. NSTP/Mohd Aizat Shamsuddin

Sian Soo berkata, inovasi yang hasilkan itu sangat kecil jika dibandingkan dengan sekolah lain kerana hanya menggunakan bahan buangan namun berjaya memikat hati juri untuk memenangi empat anugerah pada Pesta SEM kali ini.

Katanya, sesuatu inovasi yang dihasilkan tidak semestinya memerlukan kos dan menggunakan teknologi tinggi sebaliknya cukup dengan produk yang praktikal dan dapat memberi manfaat kepada orang ramai.

“Kami memulakan projek ini sejak bulan Jun lalu bermula dengan proses pengumpulan kulit telur yang diperoleh daripada kedai roti berhampiran sekolah. Kemudiannya kulit telur terbabit direndam sebelum dibilas dan dijemur serta kemudiannya dikisar.

“Selepas itu, bergantung kepada kreativiti masing-masing, ia dibentuk seperti bingkai gambar dan ‘key chain’ untuk dijadikan sebagai produk kraftangan. Bagi mencantikkan serta mengukuhkannya, ia dicampur dengan resin dan juga silikon,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sebelum itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat, hadir menyempurnakan perasmian Pesta SEM dan juga menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Yang turut hadir, Ketua Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pendidikan negeri, Azman Othman dan Pengarah Yayasan Terengganu, Hishamudin Hashim.

Pesta SEM yang berlangsung di Perpustakaan Awam Negeri Terengganu kali ini menyaksikan penyertaan 24 sekolah seluruh negeri ini.

Sian Soo berkata, walaupun pelajar sibuk dengan kerja lapangan namun dipastikan tidak mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di kelas.

“Program inovasi ini juga sebahagian daripada proses PdP di luar kelas. Ia membantu pelajar untuk pelajar berfikir di luar kotak dan juga sebagai latihan serta persediaan untuk mereka memasuki alam universiti kelak,” katanya.

Berita Harian X