Ahad, 4 Ogos 2019 | 12:18pm
Canselor Management and Science University (MSU), Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin (kiri) berkenan menyampaikan ijazah kepada graduan pada Majlis Konvokesyen MSU Ke 25 di MSU, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

1,919 graduan MSU terima diploma, ijazah

KUALA LUMPUR: Seramai 1,919 graduan Management and Science University (MSU) menerima diploma dan ijazah pada Majlis Konvokesyen MSU Ke-25 selama dua hari bermula semalam di Shah Alam, Selangor.

Canselor MSU, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin berkenan mencemar duli ke majlis berkenaan. Majlis turut dihadiri Pro Canselor MSU, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin; Presiden MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid dan Naib Canselor MSU, Prof Puan Sri Dr Junainah Abd Hamid.

Dalam satu kenyataan, MSU memaklumkan, daripada jumlah itu, seramai 111 graduan menerima ijazah pasca siswazah, 1,023 graduan menerima ijazah sarjana muda dan 785 graduan menerima diploma selepas berjaya menamatkan pengajian masing-masing.

“Turut diraikan ialah graduan sulung bagi enam program pengajian iaitu Sarjana Sains Kejuruteraan, Sarjana Teknologi Maklumat, Sarjana Muda Seni Patisserie (Kepujian), Diploma Pengurusan Logistic, Diploma Radioterapi dan Diploma Pendandan Rambut,” katanya.

MSU berkata, sebanyak lima kategori anugerah khas turut diberikan kepada 48 graduan atas pencapaian cemerlang mereka dalam bidang pengajian masing-masing.

Katanya, anugerah berkenaan adalah Anugerah Pingat Emas Canselor yang dianugerahkan kepada graduan Sarjana Muda Sains Komputer (Kepujian), Afiq Rasidulakmar; Anugerah Presiden kepada graduan Sarjana Muda Sains Bioperubatan (Kepujian), Kenneth Paul Martinez dan graduan Diploma Pengurusan, Siti Nasha Alisa Mat Rashid serta Anugerah Cemerlang Mohd Shukri Yajid kepada graduan Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa (Kepujian), Amir Asyraf Zainudin.

“Selain itu, 26 dan 18 graduan masing-masing menerima Anugerah Akademik dan Anugerah Industri,” katanya.

Canselor Management and Science University (MSU), Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin (kiri) berkenan menyampaikan ijazah kepada graduan pada Majlis Konvokesyen MSU Ke 25 di MSU, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

MSU berkata, universiti berkenaan adalah antara yang terbaik di Malaysia dengan memfokuskan kepada penawaran program pengajian untuk melahirkan modal insan berkualiti dan memenuhi keperluan global.

“Dalam memastikan matlamat melahirkan graduan yang cemerlang, seimbang dan holistik dapat direalisasikan, MSU memfokuskan kepada enam komponen utama merentasi kurikulum iaitu industri dan kebolehpasaran, keusahawanan, pengantarabangsaan, jalinan komuniti dan kelestarian, penyelidikan serta pembelajaran sepanjang hayat dan pendidikan fleksibel,” katanya.

Berita Harian X