Jumaat, 23 Ogos 2019 | 11:37am

Yayasan Gamuda taja 34 pelajar

KUALA LUMPUR: Seramai 34 pelajar yang memperoleh keputusan terbaik dalam pelajaran mendapat biasiswa penuh untuk meneruskan pengajian di peringkat tertinggi oleh Yayasan Gamuda.

Ia dianugerahkan kepada pelajar terpilih untuk menyambung pelajaran dalam bidang kejuruteraan awam, elektrik dan mekanikal, seni bina, sains komputer, hartanah serta beberapa lagi bidang di universiti terkemuka.

Justeru, Gamuda Berhad menganjurkan Majlis Anugerah Biasiswa Tahunan di Menara Gamuda dengan bertemakan ‘Leading Tomorrow’s Talent’.

Pengerusinya, Datuk Mohammed Hussein, berkata kemahiran kepemimpinan dan etika kerja adalah penting kerana generasi masa kini perlu menguruskan kehidupan dan kerjaya yang saling bergantungan untuk melaksanakan tugas dengan cekap dan berkesan.

“Sejak tahun 1996 Gamuda melabur lebih RM41.6 juta dan membiayai seramai 410 pelajar cemerlang di negara ini untuk memenuhi impian dan mengubah kehidupan mereka menjadi lebih baik,” katanya.

Mengikut rekod, sebanyak 77 peratus calon tahun ini memilih mengikuti kursus kejuruteraan berbanding 65 peratus pada tahun 2018 dan 2017.

Yayasan Gamuda ditubuhkan pada 2016 untuk menguruskan kerja sosial syarikat ke arah penyelesaian yang mampan untuk masyarakat yang memerlukan dan memberi tumpuan terutamanya kepada bantuan untuk pendidikan dan penambahbaikan komuniti.

Berita Harian X