Khamis, 29 Ogos 2019 | 1:39pm
TIMBALAN Menteri Tenaga, Sains, Teknologi Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis. NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Tingkatkan ilmu akademik, kemahiran di universiti

KOTA KINABALU: Mahasiswa perlu memanfaatkan setiap peluang dengan menikmati alam kehidupan kampus universiti dengan sebaiknya.

Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis, berkata berada di universiti bukan setakat untuk belajar ilmu akademik tetapi ia merangkumi peningkatan kemahiran insaniah melalui pembabitan dalam pelbagai aktiviti anjuran universiti.

“Keputusan akademik semata-mata tidak mampu menjanjikan kemajuan, pekerjaan atau kedudukan pada masa hadapan.

“Saya bertuah kerana di Universiti Malaysia Sabah (UMS) saya diajar dan dididik oleh pensyarah yang berdedikasi, bukan sahaja mengajar mengenai kursus pengajian tetapi juga aspek kehidupan,” katanya ketika ditemui sempena Program Jejak Alumni anjuran Pusat Kerjaya dan Alumni (PKA) UMS, di sini.

Majlis itu turut dihadiri Naib Canselor UMS, Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin; Pengarah Pusat Kerjaya dan Alumni, Prof Madya Dr Lai Yew Meng dan Timbalannya, Mohd Raffie Janau.

Ahli Parlimen Kota Belud yang juga Alumni Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Fakulti Kejuruteraan UMS, kini dalam proses penyiapan akhir pengajian Sarjana Kejuruteraan Minyak dan Gas di universiti yang sama.

“Saya menggalakkan graduan mengisi Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) kerana ini adalah data yang penting dan diperlukan untuk melihat ke mana graduan universiti selepas tamat pengajian,” katanya.

Selain keputusan akademik, personaliti dan kemahiran berkomunikasi yang baik, Munirah menggalakkan graduan mengikuti kursus atau taklimat selepas tamat pengajian termasuk menyertai konvensyen di peringkat antarabangsa.

“Ia boleh membina perspektif lain untuk kita menilai mengenai perkara boleh ditambah untuk meningkatkan dalam kebolehpasaran graduan.

“Ketika saya menuntut di UMS saya terbabit aktif dengan aktiviti berpersatuan seperti menjadi anggota biro dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), ahli jawatankuasa dalam penganjuran Tamu Gadang (Pesta Konvokesyen) dan pelbagai program yang lain.

“Saya seronok menjalani kehidupan kampus kerana bagi saya, ilmu itu bukan setakat diperoleh daripada buku akademik tetapi juga melalui pengalaman dalam pembabitan pelbagai program,” katanya sambil menambah berada di universiti ini adalah satu pengalaman yang diingatinya sampai bila-bila.

Sementara itu, Mohd Raffie berkata, Program Jejak Alumni bertujuan menjejaki sekali gus mengekalkan hubungan dengan alumni UMS yang berjaya dalam kerjaya.

“Ia juga sebagai medan perkongsian pengalaman dan pandangan bagi memberi inspirasi kepada mahasiswa dan alumni UMS yang lain serta dalam masa yang sama boleh membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan UMS,” katanya.

Berita Harian X