Rabu, 4 September 2019 | 11:58am
CALON UPSR mengulang kaji pelajaran pada saat akhir sebelum menduduki UPSR di SK Bukit Rimau. Foto: Saddam Yusoff NSTP.
FAUZANAH Sharif (kiri) menyambut calon UPSR yang akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Rimau. Foto: Saddam Yusoff NSTP.

Sisipan Didik pilihan utama calon UPSR

SHAH ALAM: Sisipan BH Didik menjadi antara bahan utama digunakan calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sebagai persediaan menghadapi peperiksaan umum itu yang bermula hari ini.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Rimau, Fauzanah Sharif, berkata pengisian interaktif dan penerangan mudah yang dipaparkan sisipan itu sangat membantu pelajar menguasai mata pelajaran, terutama membabitkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

Beliau berkata, pendekatan informasi bergambar, panduan ringkas dan topik semasa diketengahkan sisipan itu menarik minat pelajar untuk menjadikannya sebagai bahan pembelajaran.

Kelebihan dimiliki sisipan BH Didik, katanya, mendorong SK Bukit Rimau meneruskan langganannya setiap tahun sejak 2007 dengan lebih 1,000 set sebulan.

Puan Fauzanah berkata, sisipan itu digunakan guru ketika mengajar murid Tahun Lima dan Enam bagi memantapkan penguasaan mereka terhadap semua mata pelajaran.

“Setiap minggu guru akan mengedarkan sisipan ini kepada pelajar sebagai bahan latihan bagi membiasakan mereka dengan bentuk soalan peperiksaan UPSR.

“Bahan bantuan mengajar ini turut dijadikan sebagai sumber ulang kaji dan topik pembelajaran dalam kelas,” katanya ketika ditemui pada hari pertama UPSR 2019 di SK Bukit Rimau di sini.

Yang turut hadir, Penolong Pengarah Kanan Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pendidikan Selangor, Muhamad Saadan Mat Daris dan Pegawai Unit Peperiksaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang, Kamaruzzaman Naseah.

Seramai 330 calon UPSR SK Bukit Rimau menduduki peperiksaan itu daripada 87,483 calon di seluruh Selangor pada tahun ini.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan, berkata, seramai 445,641 calon mendaftar untuk menduduki UPSR di 8,076 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Calon sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan membabitkan 434,177 orang, manakala sekolah swasta seramai 11,464 orang.

Seramai 53,242 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar seperti dijadualkan

Bagi Ketua Panitia Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan Taman Melawati 2 (SKTM2), penggunaan sisipan BH Didik sejak 10 tahun lalu banyak membantu murid untuk mencapai markah cemerlang, sekali gus memperoleh 6A.

“Keberkesanan sisipan ini boleh dilihat menerusi keputusan pada tahun lalu iaitu seramai 41 murid memperoleh 6A, selain SKTM2 menjadi antara sekolah yang paling ramai memperoleh 6A di Selangor.

“BH Didik sememangnya sangat bagus untuk murid kerana menyediakan pelbagai jenis soalan terkini mengikut topik dan format baharu yang boleh dijadikan sebagai bahan bantu mengajar,” katanya ketika ditemui pada hari pertama UPSR 2019, hari ini.

Berita Harian X