Rabu, 4 September 2019 | 3:19pm
Tiga penuntut USM, (dari kiri) Asamoah Kwaku Acheampong, Danny Hartanto Djarum dan Lai Beng Keong menunjukkan aplikasi yang diberi nama 'Job Opportunity Recruitment and Networking' atau JORaN. - NSTP/Danial Saad

USM bangunkan aplikasi bantu penuntut raih pendapatan

GEORGETOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) akan melancarkan aplikasi untuk memberi pekerjaan secara sambilan kepada penuntutnya.

Aplikasi yang diberi nama ‘Job Opportunity Recruitment and Networking’ atau JORaN itu dibangunkan oleh tiga mahasiswa universiti berkenaan sejak April lalu.

Penuntut tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer, Lai Beng Keong, 22, berkata aplikasi berkenaan diilhamkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM sebagai inisiatif bagi membantu warganya menjana sumber pendapatan dengan bekerja dalam kampus.

Beng Keong berkata, aplikasi itu sudah 80 peratus siap dan dijangka dilancarkan pada November ini.

“Kami sedar ramai penuntut di universiti kini mencari pekerjaan sambilan bagi mengumpul pendapatan tambahan untuk menampung pengajian. Kerana itulah aplikasi ini dibangunkan.

“Sehingga kini, kami sudah mengemas kini hampir 30 kategori pekerjaan dan akan menambah baik dari masa ke masa,” katanya di sini, hari ini.

Selain Beng Keong, dua lagi penuntut yang turut membangunkan aplikasi berkenaan ialah penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer, Asamoah Kwaku Acheampong, 29 dan penuntut Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia, Danny Hartanto Djarum, 23.

Mereka ditemui pada Majlis Sambutan Siswa Lestari Sidang Akademik 2019/2020 di USM, hari ini, yang dirasmikan oleh Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Asma Ismail.

Sementara itu Dr Asma berkata, USM menyambut baik insiatif penuntut berkenaan dalam membantu menyediakan platform kepada warganya bagi menjana pendapatan.

“Usaha ini dapat melatih penuntut supaya berdikari dan berupaya menjadi pemberi daripada penerima,” katanya.

Aplikasi berkenaan hanya boleh dimuat turun atau diakses oleh penuntut USM dan dijangka diperluas ke dua lagi kampus, iaitu di Nibong Tebal dan Kubang Kerian, Kelantan.

Pembangunannya tidak membabitkan kos berikutan menggunakan kemudahan di universiti.

Berita Harian X