Rabu, 4 September 2019 | 4:18pm
Sebahagian penuntut baharu Ijazah Sarjana Muda, UniSZA yang mendaftar. - Ihsan UniSZA
Sebahagian penuntut baharu Ijazah Sarjana Muda, UniSZA yang mendaftar. - Ihsan UniSZA
Sebahagian penuntut baharu Ijazah Sarjana Muda, UniSZA yang mendaftar. - Ihsan UniSZA

1,710 pelajar baharu daftar di UniSZA

KUALA NERUS: Buat pertama kali Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menerima 23 penuntut program baru, iaitu Ijazah Sarjana Muda Farmasi yang mendaftar hari ini.

Semua penuntut sulung itu ditempatkan di Kampus UniSZA Besut.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof Madya Dr Mohd Afandi Salleh, berkata seramai 1,710 mahasiswa mendaftar bagi sesi 2019/2020.

“Bagi sesi ini, kemasukan pelajar perempuan seramai 1,222, berbanding 488 pelajar lelaki yang mengikuti pengajian ijazah sarjana muda.

“Mereka ditempatkan di Fakulti Biosumber dan Industri Makanan, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Fakulti Ekonomi dan Sains Pengurusan, Fakulti Informatik dan Komputeraan, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam.

“Selain itu juga Fakulti Reka Bentuk Inovatif dan Teknologi, Fakulti Sains Kesihatan, Fakulti Sains Sosial Gunaan, Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa serta Fakulti Perubatan,” katanya.

Beliau berkata, ibu bapa bersama anggota keluarga berada di kampus induk di Gong Badak seawal jam 8 pagi bagi menguruskan proses kemasukan.

“Semua penuntut baharu itu akan menjalani Minggu Mesra Siswa selama lima hari bermula esok,” katanya.

Berita Harian X