Rabu, 4 September 2019 | 5:26pm
Pelajar Sarjana Muda Pengurusan (Maritim) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nor Izra Zulaikha Ismail menunjukkan kad pelajar yang diperoleh pada sesi pendaftaran pelajar baharu di UMT hari ini. - Foto BERNAMA

Impian Nor Izra Zulaikha melanjutkan pengajian ke universiti tercapai

KUALA NERUS: Impian pelajar miskin, Nor Izra Zulaikha Ismail, 19, dari Kampung Telaga Mas, Rantau Panjang, Kelantan untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading tercapai apabila dapat mendaftarkan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Nor Izra Zulaikha, berkata dia bersyukur kerana beberapa pihak menyalurkan bantuan kewangan bagi melunaskan yuran pengajian, seterusnya meringankan beban kewangan yang dihadapi keluarganya.

Dia yang juga anak kedua daripada enam beradik berkata, bapanya Ismail Samat, 47, bekerja sebagai petani, manakala ibunya Rozita Ahmad, 42, mengambil upah menjahit dengan pendapatan keseluruhan RM700 sebulan tidak memungkinkan menyediakan bayaran yuran pendaftaran dan persiapan memasuki universiti.

“Pada peringkat awal, saya bercadang untuk menolak tawaran ke UMT kerana tidak mahu menyusahkan keluarga kerana memikirkan keluarga tidak mampu untuk menyediakan wang bagi mendaftar dan mengikuti pengajian.

“Saya bersyukur kerana banyak pihak yang prihatin dan tampil menghulurkan bantuan serta sumbangan bagi membolehkan saya menyediakan wang untuk membayar yuran pengajian,” katanya yang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Maritim), hari ini.


Nor Izra Zulaikha, 19 (tiga dari kiri) bersama ibunya, Rozita Ahmad, 42 (dua kiri) dan bapanya, Ismail Samat, 47, selepas mendaftarkan diri di UMT. - Foto Baharom Bakar

Sebelum ini, kisah mengenai Nor Izra Zulaikha tular media kerana keluarganya yang berpendapatan rendah tidak mampu untuk membayar yuran pengajian dan menanggung kos persiapan seterusnya berhasrat menolak bagi mengikuti pengajian terbabit.

Dia yang juga seorang pelajar cemerlang pernah menolak tawaran untuk ke Sekolah Menengah Sains Machang, selepas memperolehi keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2012, disebabkan keluarganya menghadapi masalah kewangan.

Kisahnya itu turut mendapat perhatian kakitangan Pusat Islam Sultan Mahmud UMT diketuai Pengarahnya, Dr Riswadi Azmi, apabila mengunjungi keluarga itu di kediamannya, pada 23 Ogos lalu.

Rombongan itu menyumbang bantuan kewangan berjumlah RM500 dan barang keperluan dapur seperti beras, minyak masak dan tepung, selain turut menyediakan kemudahan penginapan kepada ahli keluarga Nor Izra Zulaikha melalui program Caravanserai.

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar berkata, seramai 600 penuntut asnaf dan kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40), termasuk Nor Izra Zulaikha menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM300 seorang membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM180,000.

Beliau berkata, penuntut yang ditawarkan melanjutkan pengajian ke universiti awam (UA) tidak perlu memikirkan masalah kewangan, termasuk untuk pembayaran yuran pengajian, sebaliknya diminta mendaftarkan diri.

“Bantuan kewangan sebagai pendahuluan memulakan pengajian diberikan kepada semua penuntut yang layak tanpa mengira kaum dan agama.

“Jumlah calon yang ditawarkan melanjutkan pengajian pada sesi pendaftaran pelajar baharu di UMT tahun ini seramai 2,327 orang.

“Seramai 369 calon, termasuk enam terdiri daripada kategori orang kurang upaya (OKU), masyarakat Orang Asli (empat) dan bakinya 359 pelajar golongan B40,” katanya.

Berita Harian X