Isnin, 9 September 2019 | 12:59pm
Penstrukturan baharu organisasi pentadbiran UMP bagi menekankan aspek perkongsian tanggungjawab dan pembangunan bakat. - Foto fail

UMP rangka penstrukturan organisasi

KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) akan melaksanakan penstrukturan baharu organisasi pentadbiran bagi menekankan aspek perkongsian tanggungjawab dan pembangunan bakat.

Naib Canselornya, Prof Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff, berkata penstrukturan itu bagi melahirkan kakitangan yang lebih kreatif dan inovatif dalam menghasilkan kerja yang berkualiti dengan budaya kecemerlangan serta berintegriti.

“Ini penting untuk mereka terus berusaha meningkatkan momentum prestasi berdasarkan bidang tugas dan tanggungjawab di jabatan masing-masing.

“UMP juga akan terus melaksanakan sistem pengurusan prestasi ‘Pay for Performance’ (P4P) dengan beberapa inisiatif penambahbaikan bagi meningkatkan keberkesanan dan kecekapan,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, dengan ekosistem korporat dan berautonomi, setiap warga harus lebih bersedia menerima perubahan bagi memantapkan tadbir urus perkhidmatan awam seiring dengan keperluan Revolusi Perindustrian 4.0.

“Keupayaan ini bagi menjana kecemerlangan berasaskan prestasi konsisten dan nilai murni ialah pra yarat penting untuk menjadikan UMP terus gemilang melalui Pelan Strategik UMP 2021-2025 yang akan direka bentuk tidak lama lagi,” katanya.

Berita Harian X