Khamis, 19 September 2019 | 6:12pm
PELAJAR MERAIKAN sambutan dengan mengenakan tema busana Melayu dan mengibarkan Jalur Gemilang bagi menunjukkan semangat kecintaan terhadap negara. NSTP/Ihsan SMKBSP
PELAJAR MERAIKAN sambutan dengan mengenakan tema busana Melayu dan mengibarkan Jalur Gemilang bagi menunjukkan semangat kecintaan terhadap negara. NSTP/Ihsan SMKBSP

Busana Melayu warnai sambutan Bulan Kemerdekaan

Oleh Faizatul Farhana Farush Khan

[email protected]

KAJANG: Bersesuaian pepatah ‘melentur buluh biarlah dari rebung’, pengurusan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Seri Putra 2019, di sini, baru-baru ini menganjurkan Majlis Penutupan Bulan Kemerdekaan bagi memupuk perasaan cinta pelajarnya terhadap negara.

Pengetuanya, Radin Hashimah Radin Hassan, berkata program itu dianjurkan bertujuan melahirkan rasa bangga pelajar sekolah itu sebagai warganegara Malaysia, menghayati erti di sebalik kemerdekaan dan menterjemahkannya dalam kehidupan seharian mereka.

Katanya, program itu bukan sahaja bermatlamat mendidik anak bangsa untuk mengelakkan diri daripada terjebak dengan anasir negatif, tetapi juga mengutamakan nilai baik sebagai rakyat di negara bermasyarakat majmuk seperti perpaduan, kerjasama dan keamanan.

“Pelbagai aktiviti interaktif diadakan sepanjang program ini, termasuk nyanyian Negaraku, tarian dan persembahan gimik berkisahkan kemerdekaan.

“Selain itu, pelajar turut dipersembahkan pantomin patriotik kemerdekaan, nyanyian patriotik serta pertandingan akhir pakaian tradisional dan patriotik,” katanya.

RADIN HASHIMAH (berbaju kurung merah) dan Hasanuddin (berbaju Melayu ungu) menyanyikan lagu patriotik sambil mengibarkan Jalur Gemilang. NSTP/Ihsan SMKBSP
RADIN HASHIMAH (berbaju kurung merah) dan Hasanuddin (berbaju Melayu ungu) menyanyikan lagu patriotik sambil mengibarkan Jalur Gemilang. NSTP/Ihsan SMKBSP

Perasmian majlis itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus.

Sementara itu, Hasanuddin berkata, program itu mengetengahkan pemilihan tema membanggakan iaitu Busana Melayu, Seanggun Jati Diri, Tak Pudar Berzaman bagi mendedahkan pelajar dengan keunikan dan kecantikan khazanah kebudayaan pakaian masyarakat tempatan.

“Tema ini dapat menonjolkan keanggunan busana tradisional Melayu supaya generasi muda mengekalkan pemakaian warisan nenek moyang mereka, malah lebih penting, pakaian terbabit melambangkan jati diri bangsa serta simbol perpaduan masyarakat.

“Secara keseluruhan, program dilaksanakan sekolah ini cukup bagus dalam meraikan hari penting negara, menyemarakkan semangat patriotisme rakyat dan mendedahkan pelajar dengan kesusahan pejuang zaman lalu,” katanya.

Berita Harian X