Khamis, 10 Oktober 2019 | 5:12pm
Muhammad Hafiz Samsuddin.

Yayasan Peneraju lahir 59 pemenang bertaraf dunia pensijilan perakaunan profesional

KUALA LUMPUR: Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) mencatat rekod tersendiri apabila berjaya melahirkan 59 pemenang bertaraf dunia bagi program pensijilan perakaunan profesional dalam tempoh tujuh tahun.

Yayasan Peneraju dalam kenyataan akhbar, berkata kesemua pelajar berkenaan yang menerima pembiayaan dan berjaya memperoleh kedudukan teratas dunia dalam bidang pensijilan perakaunan merangkumi Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA), Institut Akauntan Berkanun di England dan Wales (ICAEW), Persatuan Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA) dan CPA Australia.

Yayasan Peneraju berkata, daripada jumlah terbabit, seramai 29 pelajar berjaya memperoleh kedudukan pertama dunia menerusi anugerah CAT/ACCA World Prize Winner.

Katanya, antara bakat bertaraf dunia yang dilahirkan Yayasan Peneraju termasuk Muhammad Hafiz Samsuddin, 20 tahun, yang berjaya mendapat tempat pertama di dunia sebanyak tiga kali di bawah program Certified Accounting Technician (CAT) menerusi subjek Management Information, Management Cost dan Finance, dan Financial Accounting 2.

Di samping itu, beliau juga mendapat tempat ketiga di dunia menerusi subjek Financial Management pada bulan Jun lalu.

Pelajar lain yang diiktiraf nombor satu di dunia termasuk Abdurrahman Apandi, Muhammad Afiq Ahmad Zamurin, Nur Farisya Noor Mazli, Muhammad Faiz Muhammad Shahril, Azlyn Alisha Sarah Amirah Azizan, Syarah Syahirah Sugianto dan Siti Nur Afini Roslan turut menempa nama sebagai pelajar terbaik di bawah program CAT menerusi pencapaian tertinggi dalam subjek masing-masing.

Di bawah program ACCA pula, antara pelajar yang diiktiraf nombor satu di dunia termasuk Wan Nor Mafudah dan Ahmad Fauzee menerusi pencapaian tertinggi dalam subjek Financial Reporting.

Pencapaian cemerlang ini jelas membuktikan Malaysia juga mampu melahirkan bakat-bakat tempatan berkualiti dan kompetitif.

Bagi Yayasan Peneraju, kejayaan ini adalah manifestasi kerja keras warga kerjanya dan hasil kerjasama dengan firma perakaunan terkemuka termasuk BDO, Deloitte, EY, KPMG dan PwC, dan badan perakaunan profesional seperti ACCA, CIMA, CPA Australia, ICAEW dan MICPA.

Program Perakaunan Profesional Yayasan Peneraju turut mendapat sokongan daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Yayasan Pahang dari segi penajaan di mana PNB merupakan penaja terbesar bagi program berkenaan.

Sehingga hari ini, Yayasan Peneraju sudah membiayai 3,000 akauntan profesional untuk mengikuti pengajian pensijilan profesional seperti CAT, CBA, CFAB, ACCA, CIMA, CPA Australia, ICAEW dan MICPA-CAANZ.

Berita Harian X