Khamis, 17 Oktober 2019 | 12:12am
MUHAMMAD Iman Zamri dinobatkan johan keseluruhan pertandingan lakaran Rukun Negara Inspirasi Rakan Negara daripada komuniti sepanjang Lebuh Raya PLUS di Restoran Jejantas Sungai Buloh. - Foto Owee Ah Chun

Muhammad Iman terpilih pemenang utama

PETALING JAYA: Penyertaan kali pertama dalam pertandingan melukis tidak mengecewakan bagi Muhammad Iman Zamri, 10 apabila terpilih sebagai pemenang utama antara sekolah dalam Pertandingan Lakaran Rukun Negara PLUS.

Sebelum ini, pelajar Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Paya Mas, Johor itu turut dinobatkan sebagai johan di peringkat sekolah melalui pertandingan julung kali dianjurkan PLUS itu.

Kedua-dua anugerah itu melayakkan Muhammad Iman menerima wang tunai berjumlah RM3,000, manakala RM5,000 disalurkan kepada sekolahnya.

Muhammad Iman mengakui tidak menyangka muncul sebagai pemenang utama kerana menggangap dirinya baru dalam dunia lakaran.

“Sebelum ini saya tidak meminati bidang ini tetapi ibu saya sentiasa memberi galakan dan tunjuk ajar dalam tempoh pertandingan ini.

“Ibu banyak mendedahkan saya dengan ilmu seni seperti mewarna, mencerahkan, dan mencantikkan lukisan dengan teknik yang betul sebelum saya melukis.

“Saya mengambil masa selama empat hari untuk menyiapkan lukisan ini,” katanya selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Lakaran Rukun Negara, di sini hari ini.

Ditanya mengenai perancangan untuk wang yang dimenangi, Muhammad Iman berkata akan dikongsi bersama keluarga.

Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial PLUS, Christine Liew, berkata pertandingan itu diadakan bertujuan menyemarakkan semangat cintakan negara dan menyemai nilai Rukun Negara dalam kalangan generasi muda.

“Kami memberi peluang kepada pelajar untuk menceritakan pemahaman mereka terhadap Rukun Negara secara kreatif menerusi visual seni lakaran.

“Pelajar juga dapat memahami dan menjiwai Rukun Negara supaya dapat diterap dan diamalkan,” katanya.

Berita Harian X