Sabtu, 19 Oktober 2019 | 6:08pm
Siti Aliza Sahar mencium anaknya Siti Madihah Situah yang menerima Anugerah Pelajaran Diraja sempena Majlis Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Kelantan (UMK). - NSTP/Nor Amalina Alias

Anak penebar roti canai terima Anugerah Pelajaran Diraja

BACHOK: Anak penebar roti canai mencatat kejayaan tersendiri apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja sempena Majlis Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Kelantan (UMK), hari ini.

Lebih manis, Siti Madihah Situah, 24, turut menerima anugerah terbaik alumni dan fakulti apabila mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.8 dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pentadbiran Perniagaan (Perbankan dan Kewangan Islam).

Siti Madihah berkata kemiskinan keluarga dan pengorbanan ayahnya, Situah Mokhtar, 51, yang menyara keluarga sebagai penebar roti canai serta dan ibunya, Siti Aliza Sahar, 48, seorang suri rumah, menjadi pendorong kejayaannya hari ini.

“Sebaik diterima masuk di UMK sesi September 2016/2017, saya tekad belajar bersungguh-sungguh untuk membalas jasa ayah yang banyak berkorban bekerja sebagai penebar roti canai untuk membesarkan saya dan adik beradik lain.

“Ketika belajar, saya turut membuat beberapa pekerjaan sambilan, antaranya berniaga nasi bungkus dan air mineral di balkoni asrama, kerana tidak mahu menyusahkan ibu bapa sepanjang pengajian.

“Alhamdulillah, segala usaha selama ini berbaloi apabila dapat buktikan mampu capai kejayaan biarpun serba kekurangan,” katanya ketika ditemui pada majlis konvokesyen UMK Kampus Bachok di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Tengku Mahkota Kelantan yang juga Canselor UMK, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra.

Hadir sama, Naib Canselor UMK, Prof Dr Noor Azizi Ismail dan mantan Ahli Lembaga Pengarah UMK, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, yang turut menerima Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Keusahawanan) UMK.

Dalam majlis itu, Madihah menerima sijil dan pingat Pelajaran Diraja serta hadiah wang tunai RM5,000.

Seramai 2,062 penuntut UMK menerima sijil masing-masing membabitkan 17 graduan Ijazah Doktor Falsafah, 38 graduan Ijazah Sarjana, 27 graduan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan 1,980 graduan menerima sijil Ijazah Sarjana Muda.

Bagaimanapun, beliau mengakui berasa sedikit ralat apabila kejayaannya tidak dapat dikongsi dengan ayahnya yang tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan.

“Ibu dan adik menumpang kereta bapa saudara dari Tanjung Karang, Selangor untuk meraikan konvokesyen pada hari ini.

“Kejayaan hari ini adalah hadiah kepada ibu bapa yang banyak berkorban untuk saya,” katanya.

Berita Harian X