Isnin, 28 Oktober 2019 | 3:45pm
Nur Hanisah (tengah) meraikan kegembiraan bersama datuk dan neneknya, Abang Kerny dan Horiah selepas Majlis Konvokesyen UNIMAS ke-23, di Kota Samarahan. - NSTP/Garret Dawum

Pesan arwah ayah jadi azimat

KOTA SAMARAHAN: Pesanan arwah ayah supaya belajar bersungguh-sungguh sentiasa menjadi pegangan buat Nur Hanisah Basuan, 22, sehingga dia mampu menerima Anugerah Pelajaran Diraja sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang ke-23, di sini, hari ini.

Nur Hanisah yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Sains dan Pengurusan Sumber Tumbuhan, berkata sejak kehilangan bapa, dia menanam azam untuk memajukan diri dan fokus dengan pelajaran serta tidak menjadikan status anak yatim piatu sebagai halangan untuk berjaya.

“Ibu saya meninggal dunia ketika saya berusia 18 bulan akibat penyakit asma dan sejak itu saya dijaga oleh datuk serta nenek kerana ayah bekerja jauh di Sarikei.

“Ketika saya sibuk dengan persiapan untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ayah saya pula jatuh sakit dan meninggal dunia lima bulan kemudian akibat kanser limfoma,” katanya ketika ditemui.

Nur Hanisah berkata, anugerah itu didedikasikan buat datuk, Abang Kerny Abang Abdul Razak, 74, dan nenek, Horiah Mahruf, 73, yang menjaganya sejak kecil.

“Datuk dan nenek antara insan yang banyak memberi semangat dan dorongan sejak saya menjadi anak yatim piatu.

“Mereka akan sentiasa memastikan saya dan abang menerima pendidikan yang sempurna,” kata anak bongsu daripada dua beradik ini.

Bekas pelajar Kolej Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah, Kuching itu berkata, dia akan meneruskan pengajian Sarjana di dalam bidang Sains Tanah sama ada di UNIMAS atau Jepun selepas ini.

“Saya ingin belajar sehingga peringkat tertinggi kerana mahu melakukan lebih banyak penyelidikan bagi membantu pembangunan di negara kita khususnya dalam bidang berkenaan tanah.

“Saya masih tidak sangka dapat anugerah ini kerana ramai yang dicalonkan,” katanya yang memiliki Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.85 dan pernah menerima anugerah dekan sebanyak enam kali sepanjang pengajian.

Sementara itu, Abang Kerny berkata, cucunya adalah seorang yang mendengar kata dan tidak pernah melawan.

“Saya hanya berpesan kepada dia untuk belajar baik-baik demi kelangsungan hidup dan kesenangan diri. Saya sangat bangga dengan kejayaan yang dimilikinya,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi penerima Anugerah Pelajaran Diraja ialah Shervin Leong Weng Ee, 24, dan Anugerah Canselor diterima oleh Kelvin Juing Tinggom, 23, serta Anugerah Pro-Canselor diterima oleh Muhammad Haziq Roslan, 22.

Berita Harian X