Selasa, 29 Oktober 2019 | 3:23pm
Sebahagian peserta Seminar SPM BH Skor anjuran Kumpulan Syarikat PROLINTAS, di Gombak, baru-baru ini.

Pecutan akhir dengan Seminar BH Skor

GOMBAK: Sebagai pecutan terakhir sebelum menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), seramai 250 pelajar menyertai Seminar SPM BH Skor anjuran Kumpulan Syarikat PROLINTAS (PROLINTAS), di sini, baru-baru ini.

Program dua hari dengan kerjasama Jabatan Vertikal Pendidikan The New Straits Times Press Bhd (NSTP) itu mendedahkan pelajar dengan teknik menjawab soalan mengikut keperluan peperiksaan terkini daripada penceramah berpengalaman.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu membabitkan mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tasik Selatan, Meor Muhammad Shabil Zam Zuri, 17, berkata seminar itu banyak membantu dirinya untuk mengetahui cara menjawab soalan dengan mudah dan tepat.

Beliau berkata, pengisian sepanjang dua hari itu juga dapat menambah pelbagai ilmu baharu untuk persiapan menjelang SPM, minggu depan.

“Dengan menyertai seminar ini, saya yakin dapat melakukan persiapan lebih baik untuk belajar dan memahami cara menjawab dengan betul serta berkesan bagi mendapat keputusan yang cemerlang.

“Saya akan berusaha bersungguh-sungguh dan menghadiahkan keputusan cemerlang untuk ibu serta ayah,” katanya kepada BH, baru-baru ini.


Peserta Seminar SPM BH Skor anjuran Kumpulan Syarikat PROLINTAS khusyuk mendengar penerangan yang diberikan penceramah.

Sementara itu, pelajar SMK Seksyen 19, Shah Alam, Nur Fazrina Jesnita Faizal, 17, berpendapat cara penyampaian penceramah yang menarik, selain teknik yang diberikan amat membantu dirinya dan rakan lain untuk menjawab soalan.

“Pelbagai topik dan soalan penting ditekankan dalam seminar ini menjadikan saya lebih memahami sesuatu mata pelajaran.

“Buku latihan yang diberikan juga amat bertepatan dengan soalan terkini SPM dan saya akan mengulang kaji di rumah nanti,” katanya.

Seminar SPM BH Skor anjuran PROLINTAS membabitkan penyertaan pelajar dari 14 sekolah di sekitar Lembah Klang antaranya SMK Taman Melawati, SMK Bukit Indah, SMK Puchong Utama dan SMK Pandan Jaya.

Berita Harian X