Selasa, 5 November 2019 | 1:21pm
NOOR Hayati Embong (tengah) bersalaman dengan calon SPM sebelum memasuki dewan peperiksaan di SMK Saujana Utama, Sungai Buluh. Foto: Nurul Syazana Rose Razman/ NSTP

Tiga strategi hadapi SPM

KUALA SELANGOR: Jika kebanyakan sekolah memfokuskan kepada pengendalian kelas tambahan berkala atau saat akhir, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Utama pula memperkenalkan tiga strategi pembelajaran secara kategori, iaitu HALUS, MULUS dan CHAMPION sejak awal tahun untuk pelajarnya sebagai persediaan menduduki SPM.

Pengetuanya, Noor Hayati Embong, berkata HALUS yang disingkatkan daripada perkataan ‘harus lulus’ adalah strategi membabitkan pemilihan pelajar yang lemah dan gagal dalam subjek supaya mereka mampu memperoleh kelulusan.

Beliau berkata, strategi MULUS atau ‘mesti lulus’ pula mengumpulkan pelajar yang memperoleh kelulusan tetapi pada tahap kurang memuaskan supaya guru dapat membimbing dan mengasah kemampuan mereka untuk meningkatkan pencapaian.

“CHAMPION pula adalah strategi yang menyasarkan pelajar yang mencatatkan keputusan cemerlang pada setiap ujian dan peperiksaan untuk memperoleh semua A pada SPM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada hari pertama kertas peperiksaan teras SPM 2019 yang bermula hari ini di seluruh negara.

Seramai 506 calon SPM SMK Saujana Utama menduduki peperiksaan itu pada tahun ini.

Noor Hayati berkata, pelaksanaan strategi pembelajaran itu berkesan apabila selepas peperiksaan pertengahan, ibu bapa dan pelajar dipelawa menghadiri sesi pertemuan bersama pengetua serta guru untuk membincangkan prestasi terkini peperiksaan anak mereka.

Beliau berkata, perbincangan itu menjadi panduan kepada ibu bapa untuk membantu mencari alternatif bagi mengatasi kelemahan anak mereka, selain mendengar cadangan dan nasihat daripada pihak sekolah bagaimana menggalakkan pencapaian pelajar terbabit.

Katanya, pelaksanaan strategi itu, terutama membabitkan HALUS dan MULUS menghasilkan kesan besar terhadap perkembangan prestasi pelajar dan sekolah sepanjang tahun ini.

“Apapun, usaha ini tidak mampu direalisasikan sekiranya tiada sokongan daripada guru yang sentiasa bersama saya dalam membantu melaksanakannya sebaik mungkin.

“Guru cukup komited apabila sanggup mengorbankan masa hujung minggu untuk memberikan kelas bimbingan ini demi kepentingan pendidikan pelajar,” katanya.

Berita Harian X