Isnin, 11 November 2019 | 2:47pm
KETUA Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin. NSTP/Rosela Ismail

PPSR Tahun 6 boleh diperoleh 21 November

PUTRAJAYA: Murid Tahun Enam boleh memperoleh Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) 2019 pada 21 November ini, di sekolah masing-masing.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin, berkata PPSR boleh diperoleh mulai jam 10 pagi, dan waris dibenarkan mengambil dokumen itu, sekiranya murid tidak dapat mengambilnya sendiri.

“PPSR suatu dokumen yang melaporkan kejayaan murid pada akhir persekolahan peringkat rendah yang lebih holistik dan bermakna.

“PPSR merangkumi Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Psikometrik (PPsi), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi murid aliran perdana dan Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR) bagi Murid Berkeperluan Khas (MBK) masalah pembelajaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semakan keputusan UPSR dan PASR boleh dilakukan menggunakan perkhidmatan mySMS 15888 dengan menaip UPSRAngkaGiliran atau PASRAngka Giliran dan SMS ke 15888.

“Perkhidmatan ini akan diaktifkan bermula jam 10 pagi pada 21 November dan akan ditamatkan pada jam 6 petang 30 November.

“Semakan keputusan UPSR dan PASR juga boleh dilakukan melalui portal Lembaga Peperiksaan di alamat sppat.moe.gov.my/semakan,” katanya.

Berita Harian X