Rabu, 13 November 2019 | 4:08pm
ANTARA aktiviti yang dilakukan pada program SchoolHeroes di SMK Kepong, Kuala Lumpur, baru-baru ini. - NSTP/Rosdan Wahid

SchoolHeroes tingkat kemahiran berbahasa Inggeris

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Program SchoolHeroes menjadi platform pembelajaran alternatif berkesan dalam menarik minat generasi muda menguasai bahasa Inggeris.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, berkata program itu membantu pelajar mempelajari bahasa antarabangsa terbabit melalui pendekatan bukan konvensional.

Katanya, kajian menunjukkan jika individu mahu lebih memahami bahasa, mereka perlu didedahkan dengan cara interaktif dan tidak hanya tertumpu kepada pembelajaran di dalam kelas.


PENGARAH EKSEKUTIF KUMPULAN FAJARBARU, Datuk Seri Eric Kuan (dua kanan) dan Guru Besar SJKT Thamboosamy Pillai, V Pama (tiga kanan) melihat aktiviti yang dijalankan murid pada Program SchoolHeroes. - Foto NSTP/ROSDAN WAHID

“Malah, kajian menyebut bahawa anak muda yang turut menerima pendedahan terhadap bahasa bukan ibunda, lebih kreatif dan memiliki kelebihan tambahan seperti mampu menonjolkan diri dengan lebih baik.

“Semua kebaikan terbabit saya lihat ada dalam SchoolHeroes yang membuatkan saya bersetuju untuk memberi tajaan supaya program ini boleh dilaksanakan dengan lancar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepong dan SMK Taman Ehsan,” katanya selepas menghadiri program berkenaan di SMK Kepong, di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Penaung SchoolHeroes, Tee Lin Dee.

Program enam hari yang dianjurkan di sekolah berkenaan dihadiri pelajar dari dua sekolah terbabit dengan menyaksikan pelbagai aktiviti interaktif bermanfaat diadakan seperti permainan, tarian, nyanyian, ceramah dan tugasan berkumpulan.


TEE Lin Dee.

Lin Dee berkata, program itu menyasarkan kepada pembelajaran kehidupan seperti kemahiran diri untuk digunakan pada masa depan dengan keseluruhan sesi dikendalikan dalam bahasa Inggeris.

Katanya, pendekatan pengajaran dan pengendalian aktiviti yang dipraktikkan melalui program itu bersesuaian dengan keperluan masa depan generasi muda kini, malah memberi peluang kepada mereka menonjolkan bakat serta memahami apa yang harus dilakukan untuk menggapai impian.

“Pelajar memerlukan aktiviti di luar kelas secara interaktif untuk meningkatkan kemahiran bahasa mereka,” katanya.


JOSHUA Navin Ramany.

Sementara itu, peserta, Joshua Navin Ramany, 15, berkata program itu meningkatkan pengetahuannya mengenai isu semasa kehidupan seperti pelaburan yang disampaikan oleh penceramah berpengalaman.

“Banyak kelebihan saya peroleh sepanjang program ini yang memupuk nilai positif, pemikiran lebih terbuka dan paling utama, membolehkan saya menonjolkan bakat menari serta menyanyi,” katanya.


DYLAN Fitrah Ishraf Ahmad Shoufik.

Bagi Dylan Fitrah Ishraf Ahmad Shoufik, 15, topik pembelajaran diketengahkan seperti perniagaan, percintaan, perubahan diri, muzik dan sukan melalui aktiviti program itu membuatkan pelajar teruja kerana bertepatan dengan minat dan jiwa mereka sebagai remaja.

“Saya mendapat banyak ilmu berguna seperti pengurusan diri yang betul, cara penyelesaian masalah berkesan, meningkatkan kemampuan dan keyakinan berbahasa Inggeris serta berani menonjolkan diri di depan khalayak ramai,” katanya.

Berita Harian X