Jumaat, 15 November 2019 | 4:27pm
PRESIDEN Sains Teknologi dan Inovasi (ASTI), Dr Mohamed Yunus Mohamed Yasin (tengah) bersama ahli lembaga ASTI, tenaga pengajar dan pelajar dari 12 sekolah yang menyerta pertandingan IEYI 2019 di Jakarta, Indonesia pada Oktober lalu bergambar bersama selepas sidang media pengumuman 3 pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Kinrara memenangi pingat emas IEYI2019. - Foto NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Murid sekolah rendah cipta alat hasilkan kompos daripada sampah

KUALA LUMPUR: Persekitaran sebuah kediaman kos rendah yang dipenuhi sampah-sarap, menjadi inspirasi kepada tiga murid dari Puchong, di sini untuk mencipta ‘home auto compost’ (HAC) bagi membantu penduduk kediaman bertingkat melupuskan sampah dengan berkesan.

Melalui HAC, sampah dari kediaman penduduk dibuang melalui satu saluran paip sebelum ia dibenamkan ke tanah. Selepas melalui proses penapaian sekurang-kurangnya dua minggu, sampah akan bertukar menjadi baja kompos.

Rekaan tiga murid berkenaan meraih Pingat Emas pada pertandingan Pameran Antarabangsa bagi Pencipta Muda di Jakarta, Indonesia, akhir Oktober lalu.

Mereka dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kinrara, dekat sini, adalah 12 pasukan yang dibawa Pertubuhan Sains, Teknologi dan Inovasi (ASTI) mewakili negara bertanding di peringkat antarabangsa, bersaing dengan 11 negara lain sepanjang 22 hingga 26 Oktober lalu.

Lebih istimewa, HAC ciptaan K Naveeshern, 12; SK Verhenyashri, 10; dan K Divyasree, 11, turut memenangi anugerah khas dari Macau dan Indonesia.

Naveeshern berkata, idea mencipta HAC ini muncul apabila melalui sebuah kawasan flat di sekitar Puchong dan melihat banyak sampah-sarap lalu terfikir jika longgokan sampah itu boleh ‘disembunyikan’ di bawah tanah sebelum ia terproses secara alami sebagai baja kompos.

“Idea ini muncul tahun lalu dan kami ambil masa kira-kira enam bulan untuk merealisasikan. Kami mahu membantu menjadikan kawasan persekitaran kediaman ‘bebas’ sampah dengan pengurusan sampah lebih sistematik, selain bagus untuk ekosistem kita,” katanya di sini.

Bagi ciptaan itu, mereka menggunakan bahan kitar semula seperti botol, bekas makanan, paip dan bahan makanan dan kos ciptaannya sekitar RM80.

Guru bagi pasukan SJKT Kinrara, G Sangkeri pula berkata, pihaknya bersama ASTI akan cuba mengenengahkan prototaip HAC ini kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya teknologi ini boleh diguna pakai di kawasan kediaman.

Teknologi hijau ini bukan sahaja mampu mengurangkan masalah sampah, malah turut meminimumkan tenaga kerja untuk pengutipan sisa pepejal di kawasan kediaman.

Sementara itu, Presiden ASTI, Dr Mohamaed Yunus Yasin, berkata selain pasukan dari SJKT Kinrara, 11 pasukan lain tidak pulang tangan kosong apabila masing-masing meraih pelbagai anugerah merangkumi pingat perak, gangsa dan anugerah khas.

Beliau berkata, pasukan yang mendapat pingat perak dan anugerah khas ialah SJKT Convent Taiping bersama ciptaan ‘penggera banjir dan sistem saliran pintar’; SJKT Tun Aminah (bumbung pisang serat); SJKT Kangar Pulai (biskut dari sumber sisa makanan) dan SJKT Kinrara (bar sihat).

Pasukan yang mendapat pingat gangsa dan anugerah khas pula ialah SJKT Serdang (bata teknologi hijau); SJKT Kinrara (penapis air organik dan penggunaan hasil sampingan untuk pertanian) dan SMK Datuk Onn (hi teaf).

Empat pasukan lagi mendapat anugerah khas dari negara lain iaitu SJKT Tun Aminah (pemproses biodiesel), SJKT Jalan Sungai (penyejuk air terracotta); SMK Datuk Onn (penyaring tulen dan penjana kuasa solar pelbagai fungsi).

Berita Harian X