Jumaat, 15 November 2019 | 10:38pm
SULTANAH Terengganu, Sultanah Nur Zahirah (kanan) diiringi Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aeni Mokhtar (tengah( menyampaikan cek kepada Ketua Unit Stesen Penyelidikan Penyu UMT, Mohd Uzair Rosli di majliis Santapan Petang bersempena Majlis Konvokesyen ke-17 Universiti Malaysia Terengganu di Hotel Tabung Haji, Gong Badak. NSTP/Rozainah Zakaria

UMT terima geran pemuliharaan penyu RM500,000

KUALA NERUS: Sejumlah RM500,000 diperuntukkan kepada Unit Penyelidikan Penyu (SEATRU) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi membiayai pelbagai program penyelidikan dalam usaha pemuliharaan penyu di negeri ini.

Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang juga Canselor UMT berkenan menyaksikan majlis penyerahan geran berkenaan oleh Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar kepada Ketua Projek SEATRU, Dr Mohd Uzair Rusli.

Geran berkenaan disampaikan pada Majlis Santapan Petang Majlis Konvokesyen UMT Ke-17, di sini hari ini.

Antara lain, geran itu bertujuan melancarkan projek penyelidikan dan pemuliharaan penyu di Terengganu untuk tempoh penyelidikan selama dua tahun bermula Januari 2020.

Nor Aieni berkata, sebagai sebuah universiti berfokuskan marin dan sumber akuatik, UMT terus meneraju usaha melindungi hidupan marin, terutama penyu yang menjadi kebanggaan rakyat Terengganu dan ikon popular negeri ini.

“SEATRU adalah unit khas yang menjalankan projek penyelidikan dan pemuliharaan penyu di Chagar Hutang, Pulau Redang, membabitkan pelbagai disiplin ilmu bagi memberi pulangan kepada komuniti dan pemegang taruh, seterusnya mengekalkan kelestarian penyu.

“Ketika ini, ada aktiviti pelancongan yang tidak lestari oleh komuniti di Pulau Redang, jadi kita mahu bangunkan produk pelancongan berasaskan penyu untuk komuniti,” katanya.

Beliau berkata, geran itu turut meliputi beberapa asas seperti kerjasama dalam bidang sains berkaitan penyu, usaha konservasi serta menyebarkan kesedaran kepentingan pemuliharaan kepada masyarakat.

Pada majlis yang sama, Sultanah Nur Zahirah turut berkenan melancarkan penerbitan buku Petala 7 Sasterawan Negara bagi menyahut seruan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik supaya masyarakat universiti menghargai serta mendekati golongan itu.

Ia menghimpunkan 132 puisi dengan mengetengahkan karya tujuh Sasterawan Negara iaitu Allahyarham Datuk Dr Usman Awang; Datuk Seri Abdul Samad Mohamed Said; Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh.

Selain itu ia turut mengetengahkan karya Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan; Datuk Dr Ahmad Khamal Abdullah (Kemala); Datuk Baharuddin Zainal (Baha Zain) dan Datuk Dr Zurinah Hassan.

Nor Aieni berkata, langkah mendokumentasikan himpunan puisi itu adalah usaha UMT melestarikan kelangsungan persuratan dan sastera kebangsaan.

“Digarap dengan penuh puitis, koleksi puisi ini memberikan banyak pengajaran mengenai kehidupan, kasih sayang dan memupuk semangat patriotisme, sesuai dengan status Sasterawan Negara yang menyumbang kepada pembentukan Malaysia dan intelektual rakyat.

“Penerbitan Petala 7 Sasterawan Negara juga memberi peluang kepada pembaca khususnya pelajar universiti untuk menatap, menghayati dan menikmati puisi indah Sasterawan Negara,” katanya.

Petala 7 Sasterawan Negara diterbitkan dalam dua versi cetakan iaitu buku mewah (coffee table book) dan bersaiz poket (pocket book) dan boleh dibeli di UMT.

Berita Harian X