Sabtu, 16 November 2019 | 11:18am
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Canselor UPM berkenan menyampaikan ijazah kepada graduan sempena dengan Majlis Konvokesyen UPM ke-43 di sini, hari ini.

Graduan UPM bantu bina masyarakat madani

SERDANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu setiap graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya dalam bidang akademik dan sahsiah serta memiliki jiwa kepemimpinan dalam diri masing-masing.

Baginda yang juga Canselor UPM bertitah, kejayaan berkenaan bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga bagi kepentingan generasi akan datang supaya dapat mewujudkan satu masyarakat madani di negara ini.

“Inilah yang membezakan graduan UPM kerana mereka perlu menjadi pemimpin yang dapat menerajui isu kelestarian sejagat seperti pemuliharaan alam sekitar dan sumber asli yang menjadi tanggungjawab warga global,” titah baginda.

Sultan Selangor bertitah demikian pada Majlis Konvokesyen Kali Ke-43 UPM di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Sultan Sharafuddin turut berkenan mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes.

Gelaran Profesor Emeritus pula dianugerahkan kepada Tan Sri Dr Nik Mustapha R Abdullah dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan serta Datuk Dr Mohd Sham Kasim (Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan).

Selain itu, Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi Baharumshah (Fakulti Ekonomi dan Pengurusan), Prof Dr Maimunah Ismail (Fakulti Pengajian Pendidikan) dan Prof Dr Wan Ishak Wan Ismail (Fakulti Kejuruteraan).

Majlis konvokesyen UPM menyaksikan seramai 6,015 graduan menerima ijazah masing-masing yang turut mencatatkan rekod penerima ijazah doktor falsafah (PhD) paling ramai di negara ini, iaitu 632 orang.

Selain itu, seramai 1,554 menerima ijazah sarjana, ijazah sarjana muda (3,337) dan diploma (492 penerima) merangkumi pelbagai bidang pengajian menerima sijil masing-masing dalam majlis yang akan berakhir Selasa ini.

Sementara itu, Sultan Sharafuddin menegaskan, pendidikan berkualiti adalah teras kelestarian pembangunan negara.

Baginda bertitah, universiti bukan hanya berperanan menyediakan graduan yang dapat memenuhi pasaran kerja, tetapi juga melengkapkan mereka dengan kemahiran untuk menjadi individu aktif, bertanggungjawab, beradab, amanah dan menjunjung tatacara kehidupan insaniah.

“Graduan harus sentiasa mempertahankan nilai dan institusi penting dalam usaha memelihara keharmonian dan perpaduan negara. Graduan seperti ini akan membawa rahmat dan kesejahteraan kepada insan lain dan alam persekitaran serta akhirnya akan menjamin masa depan yang lestari,” titah baginda.

Sultan Selangor turut menasihatkan graduan bersyukur atas nikmat dan kelebihan yang dimiliki dan mahu mereka berjuang meningkatkan martabat ibu bapa, keluarga serta negara ke peringkat lebih tinggi dengan ilmu dipelajari.

Sehubungan itu, baginda meminta graduan menjauhi perlakuan tidak sopan, terutama dalam majlis rasmi yang boleh mengundang tanggapan negatif masyarakat.

“Graduan juga perlu menyanjung tinggi Perlembagaan dan undang-undang negara supaya bebas daripada salah laku yang boleh mencalarkan maruah keluarga, bangsa dan negara,” titah baginda.

Berita Harian X