Isnin, 18 November 2019 | 5:22pm

Pelajar SMK Kubang Kerian cipta baja sisa makanan

KOTA BHARU: Hasil inovasi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian yang memanfaatkan sisa makanan menjadi baja tanaman mendapat pengiktirafan peringkat dunia daripada Worlds Largest Lesson (WLL).

Projek diberi nama Food Save Thank itu mendapat tempat kedua Plate PioneerZ Award dan akan ke ICAN Global Children’s Summit yang berlangsung di Rom, Itali pada 26 November ini.

Guru pembimbing, Wan Azrina Muhamad Zuki, berkata bagi memanfaatkan sisa makanan, dia bersama lima pelajarnya iaitu Amir Hisyam Ariffin Marzuki, 13; Nooremylia Erna [email protected], 14; Nur Iman Akmal Mazue Fazrol, 14; Aina Nurain Mohd Zamanshahril ,16, dan Nurnisa Amni Che Nazir bergabung idea untuk mencipta inovasi berkenaan.

“Lebih daripada 90 sekolah dari seluruh negara yang menyertai projek ini pada Mei lalu dan Alhamdulillah, juri di peringkat antarabangsa memilih sekolah kami untuk memenangi anugerah ini kerana memenuhi kriteria yang ditetapkan.

“Sepanjang projek dijalankan, kami membuat pelbagai persediaan termasuk melakukan kajian dan mendapati 16 tan metrik makanan dibazirkan pada setiap hari yang mana ia boleh diberikan kepada 12 juta orang dalam sehari,” katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan di sini, hari ini.

Wan Azrina berkata, inovasi berkenaan dihasilkan dengan cara mengumpul sisa makanan yang ditapis selama seminggu dan kemudian dicampur dengan Biocatalyst (bahan pengurai).

“Selepas proses itu dilakukan, bahan ini akan dimasukkan ke dalam pasu yang kemudiannya diisi dengan tanah untuk menanam. Secara tidak langsung, ia dapat menyuburkan tanaman.

“Dalam masa sama, masyarakat juga dapat memanfaatkan sisa makanan selain mengurangkan jumlah sampah yang dibuang di tempat pelupusan sampah,” katanya.

Wan Azrina berkata, objektif utama projek adalah untuk menjadikan sifar kebuluran dan bagi memastikan sisa makanan yang terbuang dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Pertambahan penduduk secara tidak langsung akan meningkatkan jumlah sampah di tapak pelupusan sampah dan ia perlu ditangani semua pihak, bukannya tanggungjawab kerajaan semata-mata.

“Menerusi program ini, kami berharap dapat membuka minda dan mendidik semua lapisan masyarakat untuk bersama-sama mengurus sisa makanan berlebihan dengan cara lebih bijak,” katanya.

Wan Azrina Muhamad Zuki (kanan) bersama pelajar dan guru SMK Kubang Kerian memanfaatkan sisa makanan menjadi baja tanaman mendapat pengiktirafan peringkat dunia daripada Worlds Largest Lesson (WLL). - NSTP/Fathil Asri
Berita Harian X