Khamis, 21 November 2019 | 2:26pm
PASANGAN kembar, M Seetha (kanan) bersama adiknya, M Valli berkongsi kegembiraan bersama bapa mereka, V Muthiah, apabila mendapat keputusan cemerlang keseluruhan A dalam enam mata pelajaran Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2019 di Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Green Lane, Jalan Hamilton. - Foto Danial Saad

Latih tubi soalan tahun-tahun lalu

GEORGETOWN: Dua beradik kembar Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Green Lane, di sini membuat latih tubi soalan tahun-tahun lalu, hingga memperoleh keputusan 6A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

M Seetha, 12, dan M Valli, tidak menyangka mendapat keputusan cemerlang dan menjadikan keputusan itu hadiah buat ibu bapa yang melakukan pelbagai usaha untuk melihat kejayaan mereka.

Bapa mereka, V Muthiah, 56, berkata isterinya yang juga seorang guru banyak memberi latihan dan tunjuk ajar kepada dua anak mereka, selain mendapatkan kertas peperiksaan dari Singapura.

“Isteri saya seorang guru yang mengajar di sekolah antarabangsa dan dia mempunyai kenalan serta mengetahui cara untuk meningkatkan kefahaman anak-anak kami yang menduduki UPSR.

“Usaha gigihnya mendapatkan kertas-kertas soalan peperiksaan tahun-tahun lalu dari Singapura ternyata membuahkan hasil apabila anak kami melakar kejayaan hari ini,” katanya di sini, hari ini.

Muthiah berkata, anak-anaknya juga sentiasa patuh kepada arahan guru hingga memudahkan mereka memahami setiap topik.

Katanya, dia tidak mempunyai anak lain selain daripada anak perempuan kembarnya dan kejayaan itu amat bermakna untuknya.

Seramai 132 murid sekolah itu menduduki UPSR di sekolah berkenaan dan seramai lapan murid memperoleh keputusan 6A.

Berita Harian X