Khamis, 21 November 2019 | 2:36pm
Majlis Konvokesyen UIAM Ke-35 akan berlangsung selama empat hari bermula Sabtu ini manakala Pesta Konvo bermula hari ini hingga Khamis depan.
Majlis Konvokesyen UIAM Ke-35 akan berlangsung selama empat hari bermula Sabtu ini manakala Pesta Konvo bermula hari ini hingga Khamis depan.

Konvokesyen UIAM Ke-35 rai 5,445 graduan

GOMBAK: Seramai 5,445 graduan akan diraikan pada Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Ke-35 yang dijadual berlangsung selama empat hari bermula Sabtu ini.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Pusat Komunikasi, Advokasi dan Promosi UIAM, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah akan dimasyhurkan sebagai Ketua Perlembagaan UIAM yang kedua, esok.

Baginda juga dijadual berkenan membuka sidang pertama majlis konvokesyen UIAM Ke-35 pada Sabtu ini dan menyampaikan skrol kepada graduan terbabit.

“Majlis Kanser Nasional (MAKNA) dijadual menerima anugerah Ibn Khaldun Merit Award for Global Social Transformation di mana anugerah ini diberikan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang banyak menyumbang kepada masyarakat.

“Pada tahun ini seramai 4,317 graduan akan menerima skrol Ijazah Sarjana Muda manakala seramai 1,128 graduan pula menerima skrol Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bidang pengajian masing-masing membabitkan 17 Kulliyyah (Fakulti),” menurut kenyataan itu.

Bersempena majlis konvokesyen itu, anugerah kecemerlangan utama akan disampaikan kepada graduan cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum, antaranya Anugerah Pelajaran Diraja, Anugerah Presiden, Anugerah BUDI dan Anugerah Rektor termasuk Anugerah Khas untuk graduan orang kelainan upaya (OKU).

Di samping itu, Pusat Pembangunan Keusahawanan (EDC) dan Majlis Perwakilan Pelajar UIAM juga menganjurkan Pesta Konvo (I-Congrats) bermula hari ini hingga Khamis depan.

Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang enam hari penganjuran I-Congrats terbabit seperti jualan makanan, cenderahati, pakaian, pameran, forum perdana dan persembahan artis, malah orang ramai dijemput hadir bagi menyemarakkan pesta berkenaan.

Berita Harian X