Khamis, 21 November 2019 | 3:23pm
GURU BESAR, Zainuddin Abdul Halim (tengah) bergambar bersama pelajar Sekolah Kebangsaan Bukit Jelutong yang mendapat keputusan cemerlang dalam Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) 2019. - NSTP/ SADDAM YUSOFF

Sisipan Didik lonjak kecemerlangan murid

SHAH ALAM: Tradisi penggunaan sisipan Didik yang dipraktikkan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jelutong sebagai bahan bantu belajar, membantu pencapaian cemerlang calonnya pada Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) 2019 apabila mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) 1.93.

Guru Besar SK Bukit Jelutong, Zainuddin Abdul Halim, berkata lebih membanggakan GPS diperoleh itu menunjukkan kenaikan 0.05 mata berbanding 1.98 pada 2018 dan 2.11 (2017).

Beliau berkata, pencapaian penguasaan tahap minimum calon pada pelaporan itu turut menyaksikan peningkatan iaitu 96 peratus, berbanding 95 peratus yang direkodkan tahun lalu.

Katanya, pihaknya sudah melanggan sisipan Didik secara konsisten sejak 2009 kerana yakin dengan jenama dan kepakaran penulisnya.

“Didik diedarkan setiap minggu kepada semua calon UPSR, manakala murid turut menggunakannya sebagai bahan ulang kaji dan sumber rujukan untuk setiap mata pelajaran.

“Pengisian interaktif dan penerangan mudah dipaparkan sisipan ini sangat membantu pelajar menguasai silibus, terutama membabitkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Pendekatan informasi bergambar, panduan ringkas dan topik semasa diketengahkan sisipan ini menarik minat murid untuk menjadikannya sebagai bahan ulang kaji tambahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena pengumuman PPSR 2019 peringkat sekolah di SK Bukit Jelutong, di sini, hari ini.

Mula diperkenalkan pada 2017, PPSR merangkumi empat komponen pentaksiran iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD); Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK); Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Berkongsi pencapaian SK Bukit Jelutong pada PPSR 2019, Zainudin berkata, keseimbangan antara akademik dengan kokurikulum yang ditekankan turut menjadi faktor penyumbang utama kepada pencapaian membanggakan itu.

Beliau berkata, dari segi akademik, guru juga memperbanyakkan latih tubi dan menjawab soalan peperiksaan tahun sebelumnya kepada setiap calon sejak awal tahun.

Katanya, usaha itu dipergiatkan selepas peperiksaan pertengahan tahun dengan memfokuskan kepada program ulang kaji di dalam kelas.

“Kami bertuah kerana Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga memberi sokongan kuat kepada usaha kami menguruskan pembabitan pelajar dalam sukan dan kokurikulum sehingga ke peringkat kebangsaan serta global.

“Pencapaian sekolah ini sejajar hasrat kementerian untuk mewujudkan sekolah seimbang,” katanya.

Berita Harian X