Khamis, 21 November 2019 | 5:06pm
MURID cemerlang UPSR mendapat 6A, dari kanan Haritz Mirza Ferdy Leornardo, Rihana Aisha Akhyari, Raniah Nur Nabil, Hanis Dayini Solihem, Amirah Balqis Ahmad Faisal dan Nur Kamilia Zahirah Nazaruddin bersama slip keputusan UPSR masing-masing di SK Putrajaya Presint 8 (2). NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR.
Murid cemerlang UPSR mendapat 6A, Raniah Nur Nabil dipeluk gurunya selepas mendapat keputusan cemerlang di SK Putrajaya Presint 8 (2). NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR.

Peserta seminar BH raih keputusan cemerlang

Oleh Maria Uffa Zulkafeli dan Meor Ahmad Nasriin Rizal Ishak

[email protected]

PUTRAJAYA: “Seminar BH Didik yang saya sertai tahun ini banyak memberi manfaat, selain membantu mempersiapkan diri menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR),”.

Demikian perkongsian murid dari Sekolah Kluster Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan (SK) Presint 8 (2), Hanis Dayini Solihem, 12, yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) 2019, hari ini.

Hanis Dayini yang mencatatkan keputusan 6A dalam UPSR berkata, peluang menyertai seminar anjuran Jabatan Vertikal Pendidikan NSTP ternyata memberikan banyak input berkesan yang boleh dimanfaatkan dalam pembelajaran, khususnya dalam UPSR.

“Tahun ini saya mengikuti kedua-dua fasa seminar BH Didik yang memfokuskan cara dan teknik belajar serta kaedah terbaik menjawab soalan mengikut kehendak peperiksaan sebenar.

“Penyampaian penceramah yang berpengalaman dalam bidang masing-masing memberi kelebihan kepada peserta untuk menghadapi peperiksaan,” katanya ketika ditemui BH, di sini.

Hanis Dayini yang gemar membaca novel bahasa Inggeris dan menyertai Pertandingan Tokoh Nilam Putrajaya Peringkat Negeri 2019 itu pernah menghiasi ruangan personaliti BH Didik, Mei lalu.

Seramai 181 murid Tahun Enam SK Presint 8 (2) mengambil sijil PPSR masing-masing seawal jam 10 pagi.

Sementara itu, Guru Besarnya, Nafishah Hassan menyifatkan sisipan BH Didik menjadi sumber rujukan tambahan kepada murid dan sebagai alat bantu mengajar guru dalam proses pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc).

Beliau berkata, sekolahnya yang menjadi pelanggan setia sisipan itu sejak lebih 10 tahun lalu menjadikan akhbar itu sebagai bahan rujukan kepada muridnya untuk membuat latihan di dalam kelas.

“Setiap calon UPSR akan menggunakan sisipan berkenaan mengikut topik dalam silibus masing-masing, dan semakin rancak membuat latihan menjelang peperiksaan.

“Sisipan BH Didik mempunyai kandungan soalan yang mirip dengan soalan sebenar peperiksaan, selain soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang dapat membantu calon menjawab soalan dan berfikir di luar jangkauan,” katanya.

Bagi Darwish Iskandar Rony Azli, latihan dalam sisipan BH Didik yang digunakan sejak awal tahun ini sangat membantunya dalam pelajaran kerana menyediakan pelbagai jenis soalan mengikut tahap dan kemahiran murid termasuk KBAT.

Darwish Iskandar juga menggunakan sisipan itu bagi mengulang kaji pelajaran sebelum peperiksaan.

Berita Harian X