Isnin, 25 November 2019 | 5:12pm
PENGARAH EKSEKUTIF KUMPULAN FAJARBARU, Datuk Seri Eric Kuan (dua kanan) dan Guru Besar SJKT Thamboosamy Pillai, V Pama (tiga kanan) melihat aktiviti yang dijalankan murid pada Program SchoolHeroes. - Foto NSTP/ROSDAN WAHID
PENGARAH EKSEKUTIF KUMPULAN FAJARBARU, Datuk Seri Eric Kuan (tengah) bersama-sama sebahagian murid yang menyertai Program SchoolHeroes di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Thamboosamy Pillai, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto NSTP/ROSDAN WAHID

Dua SJKT terima manfaat program School Heroes

KUALA LUMPUR: Syarikat pembinaan dan pemaju hartanah, Fajarbaru Builder Group Bhd (Fajarbaru) menjalinkan kerjasama dengan pasukan SchoolHeroes bagi menjayakan program intensif bahasa Inggeris di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Kinrara, Puchong dan SJKT Thamboosamy Pillai, Sentul, di sini.

Program selama tiga bulan di dua sekolah terpilih itu membabitkan penyertaan lebih 120 murid.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Fajarbaru, Datuk Seri Eric Kuan, berkata pihaknya terpanggil menaja program pendidikan yang dapat memberi manfaat kepada komuniti setempat menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu.

Beliau berkata, program SchoolHeroes diyakini dapat memberi pendedahan awal kepada murid untuk memperbaiki dan menguasai bahasa Inggeris pada peringkat awal, bermula di sekolah.

“Fajarbaru percaya pendekatan bengkel bahasa Inggeris SchoolHeroes yang menekankan kepada kaedah pembelajaran didik hibur dan interaktif itu dapat menjadi motivasi kepada murid untuk mempelajari bahasa antarabangsa itu dengan baik lebih baik dan berkesan.

“Buat permulaan, kami memilih dua sekolah ini kerana kedudukannya yang berhampiran dengan projek pembinaan di Sentul dan projek akan datang di Kinrara,” katanya ketika ditemui pada program School Heroes di SJKT Thamboosamy Pillai, di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir ialah Penyelaras SchoolHeroes, Tee Lin Dee dan Guru Besar SJKT Thamboosamy Pillai, V Pama.

Sementara itu Pama berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan penajaan program berkaitan pendidikan bahasa Inggeris itu.

Beliau berkata, kebanyakan murid yang terpilih menyertai kelas bahasa Inggeris itu menunjukkan minat luar biasa mempelajari sesuatu yang baharu menerusi pendekatan program SchoolHeroes.

“Kami berharap program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang, dalam usaha membantu lebih ramai murid-murid untuk menguasai bahasa Inggeris,” katanya.

Berita Harian X