Isnin, 2 Disember 2019 | 10:39pm
CANSELOR UTeM, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob (kanan) menyampaikan Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Teknologi Kejuruteraan kepada Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Syed Hussian Syed Junid (kiri) pada Majlis Konvokesyen ke-15 di Dewan Canselor, Kampus Induk Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal. NSTP/Khairunisah Lokman.

Graduan masih dibelenggu untuk dapat pekerjaan

ALOR GAJAH: Graduan universiti kini masih dibelenggu masalah untuk mendapatkan pekerjaan meskipun memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Tun Dr Mohd Khalil Yaakob, berkata saban tahun, universiti dan institusi pengajian tinggi di negara ini melahirkan puluhan ribu graduan, namun peluang pekerjaan yang ditawarkan di pasaran kerja sangat terhad.

Bagaimanapun, graduan yang mempunyai nilai tambah termasuk menguasai bahasa asing terutama bahasa Inggeris, mampu menambat hati majikan.

Menurutnya, dalam keterujaan menyambut baik kehadiran teknologi baharu masa kini, graduan tidak boleh leka dengan cabaran yang datang.

“Penting bagi kita untuk sedar bahawa beberapa jenis pekerjaan tradisi akan hilang dan digantikan dengan peranti, teknologi dan aplikasi pintar.

“Peluang pekerjaan tradisi akan menjadi semakin kabur dan digantikan dengan jenis pekerjaan baharu berasaskan aplikasi pintar, mudah alih serta teknologi terkehadapan,” katanya pada Majlis Konvokesyen Ke-15 UTeM di Durian Tunggal, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pro Canselor UTeM, Datuk Ismail Saleh dan Datuk Dr Sabirin Ja’afar; Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali serta Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr Raha Abd Rahim.

Pada majlis itu, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Syed Hussian Aljunid turut menerima Ijazah Kehormat Doktor Teknologi Kejuruteraan.

Pada konvokesyen kali ini, seramai 2,993 graduan pelbagai bidang menerima ijazah dan diploma masing-masing pada majlis yang berlangsung selama dua hari berakhir esok.

Sementara itu, Raha berkata UTeM terus melangkah bagi mencapai hasrat untuk menjadi sebuah universiti teknikal yang kreatif dan inovatif terkemuka di dunia serta kekal relevan serta cemerlang dalam persaingan dunia globalisasi Revolusi Industri 4.0.

Menurutnya, dalam memastikan program akademik yang mempunyai kebolehpasaran tinggi, UTeM sentiasa membabitkan tenaga pakar dari institusi dan industri ternama bagi menambah baik aspek kurikulum program akademik yang ditawarkan.

“Alhamdulillah, UTeM sudah menyahut permintaan yang semakin meningkat terhadap program akademik yang menjurus kepada bidang teknologi dengan menawarkan dua program baharu mulai sesi kemasukan September lalu iaitu Sarjana Muda Teknologi Kimpalan dan Sarjana Muda Teknologi Pemesinan dengan kepujian.

“Inisiatif ini secara langsung memberi manfaat kepada lepasan graduan Diploma Kemahiran Malaysia dan Diploma Vokasional Malaysia untuk meneruskan pengajian mereka ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Berita Harian X