Selasa, 3 Disember 2019 | 9:46am
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Hajjah Kalsom, Ahmad Iman Zulkifly (kiri) bersama Nur Syaza Fakhrunnisa Zuki, Sarah Sharizal serta Auni Nabihah Azli (kanan) meraih Anugerah Kolaboratif Antarabangsa Terbaik pada pertandingan F1 In School World Finals 2019 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) semasa ditemui, di SMK Sultanah Hajjah Kalsom. - Foto Mohd Rafi Mamat

SMK Sultanah Hajjah Kalsom cemerlang di Abu Dhabi

KUANTAN: Kerjasama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Hajjah Kalsom dengan dua sekolah di China membawa tuah apabila meraih Anugerah Kolaboratif Antarabangsa Terbaik pada pertandingan F1 In School World Finals 2019 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), minggu lalu.

Mereka membawa cabaran pasukan Petronas Accura Racing yang buat pertama digandingkan bersaing dengan 55 pasukan daripada 22 negara.

Guru pembimbing inovasi SMK terbabit, Hasfasuriazal Hasman, berkata kerjasama antara tiga sekolah itu berjaya menghasilkan keputusan yang begitu membanggakan di pentas antarabangsa.

Menurutnya, pelajar Sekolah Tinggi Shixi dan Sekolah Teknik Dazhong yang mewakili China memiliki kemahiran yang tidak kurang hebatnya terutama bidang pembuatan kereta F1 kerana mereka memiliki mesin khas menghasilkan produk berkenaan.

Katanya, kerjasama dua negara yang kali pertama diwujudkan memberi banyak kebaikan dalam jangka masa panjang dalam usaha memajukan sukan F1 di peringkat kebangsaan apabila kepakaran dua sekolah di China itu dapat dikongsi.

“Kita akan terus berhubung dengan dua sekolah terbabit selepas ini dalam usaha menghasilkan kereta F1 serta kelengkapan lain yang lebih berkualiti hasil penggunaan bahan khas ciptaan negara terbabit.

“Saya yakin pasukan F1 SMK Sultanah Hajjah Kalsom yang muncul juara empat kali peringkat kebangsaan akan lebih berjaya pada masa akan datang hasil kerjasama dengan dua sekolah di China,” katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, empat pelajar yang membawa cabaran negara di Abu Dhabi ialah Ahmad Iman Zulkifly selaku ketua pasukan Auni Nabihah Azli, Nur Syaza Fakhrunnisa Zuki dan Sarah Sharizal yang masing-masing berusia 16 tahun.

Hasfasuriazal berkata, SMK Sultanah Hajjah Kalsom sebelum ini lima kali terpilih mewakili negara di pentas antarabangsa bermula pada 2015, dengan pelbagai kejayaan dan anugerah sudah dicapai.

Katanya, di peringkat kebangsaan pencapaian terbaik SMK Sultanah Hajjah Kalsom dilakukan tahun ini apabila merangkul Anugerah Kereta Terpantas, Anugerah Perlumbaan Kalah Mati, Anugerah Kajian dan Pembangunan serta Anugerah Pembentangan verbal terbaik sekali gus dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

“Sokongan dan bantuan diberikan Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Abdul Fahd Mu’adzam Shah Sultan Ahmad Shah, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah melancarkan lagi aktiviti sukan F1,” katanya.

Sementara itu Ahmad Iman berkata, pengalaman menyertai pertandingan di Abu Dhabi diharap dapat digunakan untuk memajukan lagi sukan F1 di peringkat sekolah.

“Saya yakin selepas ini dapat menghasilkan kereta F1 yang lebih pantas berbanding sekarang dengan catatan 1.042 saat dengan berat 50 gram,” katanya.

Berita Harian X