Selasa, 3 Disember 2019 | 9:12pm
Ahli sukarelawan Persatuan Inovasi Mahasiswa (INOVA), Nur Atiqah Idrus melaksanakan aktiviti mewarna bersama kanak-kanak di perkampungan Muslim, Kratie, Kemboja.

Penuntut UUM laksana misi kemanusiaan Kemboja

SINTOK: Seramai 22 pelajar dan kakitangan Universiti Utara Malaysia (UUM) mengunjungi wilayah Kratie, Kemboja, dalam misi penghantaran bantuan kemanusiaan kepada penduduk dua kampung di samping melaksanakan aktiviti sukarelawan.

Kumpulan penuntut itu berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM24,773.60 daripada orang ramai melalui kempen yang diadakan dalam tempoh 40 hari bagi membantu penduduk perkampungan terpencil.

Antara sumbangan yang disampaikan ialah al-Quran, sejadah, kopiah, alat tulis, telekung dan bantuan makanan, selain wang tunai.

Pengarah Misi Sukarelawan Pelajar ke Kemboja, UUM-ASEAN, Awis Al Qarni, berkata misi itu bertujuan mengagihkan sumbangan yang dikumpulkan bagi meringankan beban masyarakat kampung di sana.

Awis berkata, misi itu mendapat kerjasama Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) melalui latihan persediaan (Pre Departure Training), Asian Institute of Cambodia (AIC) serta sokongan dari Passage to ASEAN (P2A) dan Pejabat Kedutaan Malaysia di Phnom Penh.

“Mereka membantu kami dari segi kemudahan khususnya dalam aspek logistik sepanjang program diadakan.

“Terdapat dua perkampungan masyarakat Islam yang kami kunjungi iaitu Kampung Krakor dengan jumlah penduduk sekitar 318 orang dan Kampung Trapeang Pring, seramai 125 orang.

“Disebabkan lokasinya yang agak jauh dari bandar utama, perkampungan ini tidak mendapat perhatian sukarelawan dan aktiviti korban (Aidiladha) dari Malaysia,” katanya.


Pengarah Misi Sukarelawan Pelajar ke Kemboja, UUM-ASEAN, Awis Al Qarni menyampaikan sumbangan kepada wakil penduduk Perkampungan Krakor, Kemboja, Mohmd Rabbani.

Sementara itu, Dekan PPA CAS UUM, Profesor Madya Dr Bahtiar Mohamad, berharap program yang memberi impak tinggi seperti itu dapat diteruskan pada masa depan.

“Program ini perlu diteruskan pada masa hadapan agar kita dapat menilai perkembangan dan kemajuan masyarakat kampung. Mereka amat memerlukan perhatian dan bantuan terutamanya pendidikan bagi generasi muda,” katanya.

Imam Masjid Al Hidayah, Kampung Krakor, Kratie, Ishak Ahmad, 52, turut merakam terima kasih atas sumbangan yang diberikan oleh penuntut UUM itu kepada kampungnya.

Berita Harian X