Selasa, 21 Januari 2020 | 12:38pm
Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan.
Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan.

Jangan asingkan guru ikut kaum, sekolah - iGuru

KUALA LUMPUR: Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) meminta Kementerian Pendidikan mengkaji semula kaedah pengambilan calon untuk kemasukan ke Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

Presiden iGuru, Mohd Azizee Hasan, berkata kajian perlu supaya proses pengasingan kaum yang berlaku di dalam subjek tertentu dilihat kurang sesuai dalam menepati hasrat falsafah pendidikan negara untuk memupuk perpaduan kaum.

Katanya, pengasingan kaum melalui jurusan subjek tertentu yang menjurus kepada sekolah vernakular, ditawarkan kepada bakal guru sepanjang lima tahun pengajian di IPGM akan merencatkan usaha penyatuan dan integrasi nasional.

“Sedangkan guru adalah agen sosialisasi masyarakat melalui wadah pendidikan.

“Cadangan semakan semula kaedah pengambilan calon IPGM ini adalah bertujuan untuk membina penyatuan kaum di peringkat latihan perguruan dan penjimatan kos penempatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, hasil kajian dilakukan iGuru di sesawang 2020 - http://upu.moe.gov.my/web/, terdapat program yang tidak perlu diasingkan kepada Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

“Contohnya bagi subjek Bahasa Melayu hendaklah diambil calon guru yang berkemahiran tinggi dan penutur jati bagi memantapkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu,” katanya.

Beliau berkata, iGuru juga mencadangkan untuk Program Ijazah sarjana Muda Pendidikan (PISMP) Pendidikan Jasmani, tidak perlu diasingkan dan dipisahkan antara SK, SJKC dan SJKT.

Sementara guru sains dan matematik pula, katanya digesa supaya penempatan mereka tidak dipisahkan mengikut SK, SJKC dan SJKT, kerana mereka boleh disatukan kepada satu kursus dan ditempatkan di mana-mana sekolah.

“iGuru menyokong kenyataan Kesatuan Guru-Guru Malaysia Barat (KGMMB) berhubung isu ini dan berharap pihak kementerian membuat semakan semula pengambilan calon ke IPGM,” katanya.

Berita Harian X