Selasa, 11 Februari 2020 | 3:24pm
Guru dan pelajar Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA), Kuala Terengganu bertuah selepas menjadi sekolah pertama di dunia dipilih berkolaboratif dengan Yayasan Anugerah Princess Maha Chakri , di Bangkok, Thailand baru-baru ini. Foto NSTP/Malik Muhamad

SMAASZA sekolah pertama di dunia kolaboratif dengan PMCAF

KUALA TERENGGANU: Bersesuaian dengan slogan ‘SMAASZA di Persada Kegemilangan Antarabangsa’, Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin terus mengorak langkah mencipta sejarah dalam pendidikan di peringkat global.

Terbaharu, sekolah agama tertua di Terengganu itu melakar nama sekolah pertama di dunia mendapat undangan rasmi selain menjalin kerjasama melalui surat persefahaman dengan Yayasan Anugerah Princess Maha Chakri (PMCAF), Thailand dalam bidang pendidikan.

Sejarah yang dilakar sekolah berkenaan bakal membuka lembaran baharu dan memberi impak yang bermakna bukan sahaja kepada warga SMAASZA, malah kepada negeri dan negara bagi memastikan pembelajaran masa depan yang lebih canggih dan mencabar dalam memacu bidang pendidikan khususnya berkaitan inovasi.

Pengetua SMAASZA, Engku Abdullah Engku Dalam Ahmad yang mengetuai delegasi sekolah itu ke yayasan yang beroperasi di Pejabat Urusetia Majlis Guru Thailand, Dusit District, Bangkok, minggu lalu mengakui lawatan bersejarah sehari itu begitu positif dan bermakna demi masa depan pendidikan yang perlu dilihat secara global.

“Selain itu lawatan yang disusuli dengan menandatangani surat kerjasama dengan yayasan yang dipengerusikan Dr Krissanapong Kirtikara yang juga bekas Timbalan Menteri Pendidikan Thailand bakal membuka lembaran baharu untuk SMAASZA melihat pembelajaran masa depan yang lebih canggih dan mencabar.

“Selain itu bersesuaian dengan PMCAF yang bergerak pantas dan pintar dalam dunia pendidikan masa hadapan, ia diyakini mampu melahirkan pelajar bertaraf dunia yang kreatif dan inovatif apatah lagi SMAASZA adalah sekolah pertama di dunia mendapat undangan secara rasmi daripada yayasan itu.

“Selain kerjasama yang terjalin, kunjungan delegasi SMAASZA bermatlamat untuk mendalami kaedah PMCAF meningkatkan pembangunan profesionaliti serta untuk membina hubungan baik antara guru dan pelajar dengan sekolah di Thailand.

“Empat pelajar dan dua guru ditawarkan oleh Dr Krissanapong untuk menghadiri Kem Astronomi pada pertengahan tahun ini,” katanya.

Selain Engku Abdullah, delegasi SMAASZA turut disertai wakil Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG), Abdul Malik Muhamad, tiga guru iaitu Zalina Hassan, Dr Wan Maiziatul Akmar Wan Ahmad dan Saripah Embong serta tiga pelajar iaitu, Wan Ahmad Aqil Zakwan Mohd Faidzal, Nurul Aisyah Mustaffa dan Nur Anis Farzana Abdul Malik.

Delegasi SMAASZA turut dibawa melawat ke Princess Cholabhorn Science High School Pathum Thani berdasarkan beberapa kelebihan di sekolah berkenaan termasuk dalam bidang astronomi, sains bumi, penyelidikan, penemuan, kerjaya dan teknologi bersesuaian dengan pembelajaran abad ke-21.

Sementara itu Saripah yang mendapat anugerah daripada yayasan berkenaan menyatakan Anugerah Princess Maha Chakri adalah anugerah antarabangsa yang didedikasikan khusus untuk guru yang berjaya mengubah kehidupan pelajar dan memberi sumbangan besar kepada pendidikan di negara Asia Tenggara dan Timor Leste.

Katanya, PMCAF menjalin kerjasama dengan Kementerian Pendidikan di 11 negara, Kementerian Luar Negeri dan Kedutaan Besar Thailand di 10 negara untuk mencari guru yang luar biasa di setiap negara.

“Justeru kerjasama dengan SMAASZA ini, ia bakal melahirkan lebih ramai lagi pelajar yang kreatif dan inovatif terutama dalam bidang mereka cipta produk yang berkualiti dan mampu dipasarkan di peringkat dunia sebagaimana produk AVER Clean Liquid yang mendapat pingat emas dalam Pertandingan Harta Intelek, Rekacipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa di Bangkok, minggu lalu,” katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X