Khamis, 5 March 2020 | 3:34pm
Said Ramdan.
Said Ramdan.

Arwah ibu jadi kekuatan untuk berjaya

PUTRAJAYA: Hasrat seorang anak mahu membawa ibunya bercuti ke luar negara tidak kesampaian apabila ibunya meninggal dunia, lima bulan sebelum beliau menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pelajar cemerlang, Said Ramdan, 17, berkata hasrat itu sudah lama dipendam kerana ibunya tidak pernah ke luar negara.

“Itu memang motivasi saya untuk berjaya kerana ibu memang tidak pernah ke luar negara. Ayah pula pernah ke luar negara kerana sebelum ini belajar di Mesir.

“Namun, tidak sempat saya membawa ibu ke luar negara, ibu pergi meninggalkan kami. Jadi, saya ambil semangat yang sama untuk berjaya dan mahu membawa enam adik bercuti ke luar negara apabila berjaya nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas diumumkan mendapat 9A+ dalam SPM 2019, di Sekolah Sultan Alam Shah, di sini, hari ini.

Said turut mengakui, agak sukar untuk belajar selepas mendapat berita kematian ibunya pada Mei tahun lalu.

“Saya memang terkejut dengan berita itu, tidak sangka kerana ibu sihat dan baru berusia 37 tahun. Apabila pulang ke rumah di Temerloh, Pahang saya memang tidak belajar.

“Pada ketika itu saya banyak termenung dan mengumpul kekuatan untuk belajar. Apabila masuk sekolah selepas cuti Aidilfitri, saya memberikan sepenuh tumpuan. Syukurlah, saya berjaya mendapat keputusan cemerlang,” katanya yang berhasrat melanjutkan pelajaran ke London School of Economics and Political Science di United Kingdom.

Sementara itu, Farid Nadjmi Nur Firdaus Seet, berkata beliau tidak memaksa dirinya untuk belajar dan hanya memberi sepenuh tumpuan ketika guru mengajar di dalam kelas.

“Cara saya belajar, saya akan rehat secukupnya. Cukuplah memberi tumpuan sepenuhnya ketika sesi pembelajaran. Pada ketika itu, pelajar boleh bertanyakan soalan kepada guru sekiranya tidak faham,” katanya yang memperoleh 10A+ pada peperiksaan itu.

Terdahulu, kedua-dua pelajar SAS itu menerima keputusan SPM masing-masing berserta wang tunai berjumlah RM1,000 daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Wang tunai berkenaan ialah sumbangan dari Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SAS kepada pelajar yang mendapat A+ dalam semua matapelajaran.

Berita Harian X