Khamis, 5 March 2020 | 3:55pm
MULAI TAHUN DEPAN, calon SPM 2021 akan menggunakan format baharu.
MULAI TAHUN DEPAN, calon SPM 2021 akan menggunakan format baharu.

SPM guna format baharu tahun depan

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkenalkan format baharu bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 sejajar dengan pengenalan pakej mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pakej Sastera dan Kemanusiaan yang mula dilaksanakan untuk pelajar Tingkatan Empat, pada tahun ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim, berkata pengenalan pakej mata pelajaran di bawah Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) itu menyebabkan berlakunya perubahan dalam format peperiksaan SPM 2021.

Beliau berkata, KPM masih dalam proses memuktamadkan format berkenaan dan ia sudah hampir selesai.

“Lembaga Peperiksaan akan memuat naik maklumat mengenai format baharu itu dalam laman sesawang kementerian pada minggu depan dan penataran pula dijangka dibuat kepada semua sekolah bermula bulan ini,” katanya selepas sidang media pengumuman analisis keputusan SPM 2019 di sini, hari ini.

Selain pencapaian Gred Purata Nasional (GPN) yang lebih baik, keputusan SPM 2019 juga menunjukkan peningkatan lebih baik bagi Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) membabitkan subjek sains tulen iaitu Fizik, Kimia dan Biologi berbanding tahun sebelumnya.

Mata pelajaran Fizik mencatat GPMP 4.25 pada 2019 berbanding 4.27 (2018), biologi meningkat kepada 4.35 berbanding 4.44 (2018) dan Kimia juga mencatatkan peningkatan 4.89 daripada 4.99 (2018).

Dr Habibah Abdul Rahim. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Dr Habibah Abdul Rahim. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Habibah berkata, kementeriannya kini menggalakkan pelajar supaya memilih mata pelajaran berkaitan STEM termasuk mata pelajaran sains tulen.

Katanya, usaha itu perlu dilakukan secara berterusan kerana terdapat sedikit penurunan dari segi bilangan calon SPM 2019 yang mengambil mata pelajar STEM atau sains tulen.

“Pengenalan pakej baharu pilihan mata pelajaran yang disediakan KPM selaras dengan pelaksanaan KSSM ini diharap dapat menarik lebih ramai calon untuk mengambil mata pelajaran berkenaan pada masa depan.

“Meskipun terdapat penurunan dari segi bilangan calon yang mengambil mata pelajaran sains tulen pada tahun lalu, dari segi pencapaian menunjukkan peningkatan bagi kesemua subjek berkenaan,” katanya.

Sementara itu, secara keseluruhan, sebanyak 56 peratus calon SPM 2019 menguasai Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dengan baik berbanding 61.10 peratus calon pada tahun sebelumnya.

Sebanyak 53.33 peratus calon SPM 2019 menguasai kemahiran mengaplikasi, (62.64 peratus) kemahiran menganalisis, (47.51 peratus) kemahiran menilai dan kemahiran mencipta (60.52 peratus).

Habibah berkata, tidak dinafikan terdapat turun naik dalam penguasaan pelajar membabitkan elemen KBAT dan kementerian akan berusaha memberi fokus yang lebih tinggi kepada mana-mana elemen yang dilihat terdapat penurunan itu.

“Lembaga Peperiksaan juga akan mengkaji kenapa terdapat penurunan dalam komponen kemahiran KBAT itu.

“Jika dilihat kepada peratus soalan KBAT yang terdapat dalam SPM 2019, ia adalah lebih tinggi iaitu 35 berbanding 30 pada 2018 yang mungkin menyumbang kepada penurunan itu tetapi bagaimana corak penurunan mengikut komponen itu berlaku, kita perlu analisis dengan lebih lanjut,” katanya.

Berita Harian X