X
Khamis, 2 April 2020 | 5:46pm
Usaha Yayasan MSU dalam menjaga kebajikan pelajar wajar diberikan pujian.
Usaha Yayasan MSU dalam menjaga kebajikan pelajar wajar diberikan pujian.
Pelajar MSU mengambil makanan yang disediakan Yayasan MSU.
Pelajar MSU mengambil makanan yang disediakan Yayasan MSU.

COVID-19: MSU bantu pelajar menerusi program MOM

SHAH ALAM: Management and Science University (MSU) melancarkan program Meals on Me (MOM) yang berperanan untuk mengedarkan makanan khusus kepada 500 pelajarnya yang berada di kampus sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Mereka terdiri daripada pelajar tempatan dan antarabangsa yang menginap di The Residence serta kemudahan penginapan di sekitar kampus MSU di Seksyen 13, di sini.

Usaha yang dijalankan menerusi Yayasan MSU itu dikendalikan oleh Student & Career Development Department.

Kos penyediaan makanan berkenaan dibiayai sepenuhnya oleh Yayasan MSU yang turut memberikan peluang kepada warganya untuk berbakti membantu pelajar yang dalam keadaan sukar sekarang.

“Hingga kini, Yayasan MSU sudah mengumpulkan dana sumbangan mencecah RM10 ribu untuk digunakan dalam program MOM ini sehingga tempoh arahan PKP berakhir.

“Sepanjang pelaksanaan PKP, MSU terus memastikan aspek keselamatan, pembelajaran dan pengajaran pelajar tidak terjejas termasuk arahan penjagaan kesihatan serta kebersihan dalam mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19,” kata MSU dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu, MSU turut menyediakan penawaran subjek secara modular serta perbincangan berterusan dengan rakan universiti di luar negara.

Katanya, pembelajaran dijalankan secara dalam talian termasuk kuliah, tugasan, nota serta penangguhan aktiviti mobiliti antarabangsa dan latihan industri.

“MSU Medical Centre Specialist Hospital juga menyediakan perkhidmatan perubatan kepada warga MSU termasuk pelajar.

“Tindakan yang diambil ini selaras dengan arahan Kementerian Pengajian Tinggi, Jabatan Kesihatan Negeri serta Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.

Berita Harian X