Selasa, 19 Mei 2020 | 11:57am
Pengetua SMK Hillcrest, Abdul Samat ketika memberikan ucapan sempena sambutan Hari Guru yang diraikan warga sekolah itu secara dalam talian, baru-baru ini.
Pengetua SMK Hillcrest, Abdul Samat ketika memberikan ucapan sempena sambutan Hari Guru yang diraikan warga sekolah itu secara dalam talian, baru-baru ini.

Sambutan Hari Guru meriah walau secara maya

Oleh Faizatul Farhana Farush Khan

[email protected]

KUALA LUMPUR: Kekangan mengadakan Hari Guru 2020 melalui acara di sekolah pada Sabtu lalu akibat penularan COVID-19, bukan alasan kepada warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hillcrest untuk tidak menjayakan sambutan istimewa itu apabila tetap meraikannya melalui aplikasi Google Meet.

Pengetuanya, Abdul Samat Ismail, berkata walaupun tidak dapat bersua muka secara berdepan seperti tahun sebelumnya, guru dan pelajar membuat keputusan melalui Kelab Guru sekolah itu untuk menyambutnya menerusi siaran langsung video memandangkan tanggal terbabit cukup istimewa buat mereka.

Beliau berkata, sambutan itu bertujuan menunjukkan penghargaan kepada peranan besar dimainkan guru dan pada acara sama, warga sekolah turut meraikan seorang guru, Rodziyah Mohd Salleh yang bersara wajib.

"Acara selama dua jam bermula jam 8 pagi itu menyaksikan pelbagai aktiviti seperti bacaan surah Yasin, ikrar guru, nyanyian lagu Kami Guru Malaysia dan persembahan multimedia, selain ucapan daripada saya, guru serta pelajar.

"Pada acara itu, kami turut mengadakan majlis persaraan cikgu Rodziyah sebagai menghargai jasanya dalam mendidik anak bangsa, terutama pelajar SMK Hillcrest," katanya.

Abdul Samat berkata, sambutan itu membuktikan walaupun warga sekolah berada dalam keadaan tidak dijangka akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka mampu menyesuaikan diri untuk melakukan normal baharu.

Bersempena dengan sambutan Hari Guru 2020, beliau mengucapkan terima kasih kepada setiap guru di atas segala kerja keras, dedikasi, keprihatinan, kasih sayang dan kecintaan mereka terhadap profesion keguruan.

Katanya, tanpa ciri berkenaan, pastinya mereka tidak akan dapat menjadi guru hebat mendidik anak bangsa seperti kini.

"Walaupun berdepan segala rintangan seperti COVID-19, diharapkan semangat sebagai guru tidak akan pernah luntur, malah sememangnya selama ini pun mereka sentiasa komited menjalankan tugas seperti ditunjukkan.

"Semoga setiap guru memiliki jati diri terbaik dalam mendokong profesion penting negara ini," katanya.

Ikuti klip video mengenai kerinduan pelajar dan guru SMK Hillcrest yang ingin kembali ke sekolah tetapi terpaksa duduk di rumah akibat wabak COVID-19 di https://m.youtube.com/watch?v=Il9Bfv0YrZc.

Berita Harian X