Jumaat, 29 Mei 2020 | 2:30pm
UIAM turut memperoleh pengiktirafan PBB sebagai peneraju Pusat Kepakaran Serantau (RCE).
UIAM turut memperoleh pengiktirafan PBB sebagai peneraju Pusat Kepakaran Serantau (RCE).
Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak
Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak

UIAM tersenarai dalam dua anugerah lestari antarabangsa

KUALA LUMPUR: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) melakar sejarah tersendiri apabila menjadi universiti pertama di negara ini tersenarai sebagai finalis untuk dua anugerah kelestarian antarabangsa.

Anugerah itu ialah Anugerah Green Gown Antarabangsa yang mana UIAM dikategorikan dalam Institusi Lestari Terbaik Dunia dan Anugerah Menguntungkan Masyarakat menerusi program Leadership, Intuititive, Giving, Humility, Tenacity (LIGHT) anjuran Kulliyyah Senibina serta Reka Bentuk Alam Sekitar (KAED).

Anugerah berkenaan turut mendapat sokongan daripada United Nation (UN) Environment, International Association of Universities (IAU) dan The Association of Commonwealth Universities(ACU).

UIAM juga disenarai akhir bersama-sama 12 universiti lain termasuk dari Australia, Britain, Columbia, Mexico dan Peru yang mana senarai berkenaan telah dikeluarkan di laman sesawang organisasi terbabit pada Selasa lalu.

Pengiktirafan tertinggi itu diberikan kepada institusi pengajian tinggi yang menjalankan usaha kelestarian bagi mencapai objektif kelestarian global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Rektor UIAM, Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, berkata pengiktirafan diraih itu cukup bermakna buat universiti terutama bagi usaha melakukan transformasi institusi untuk kelestarian.

"Transformasi ini adalah untuk mencapai tiga objektif utama iaitu bagi menjadikan UIAM sebagai institusi yang lestari dan sejahtera serta memperkasakan masyarakat sekitar," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Anugerah Green Gown diberikan kepada universiti dari seluruh dunia sebagai pengiktirafan membangunkan kelestarian di negara masing-masing sekali gus memberikan impak kesejahteraan untuk komuniti setempat.

Anugerah Menguntungkan Masyarakat disenarai pendek dan program yang dianjurkan adalah sebahagian dari program 'flagship' UIAM yang menjadi pendokong kepada proses transformasi universiti itu untuk kelestarian.

Pemenang bagi tahun ini akan diumumkan pada 8 Julai depan bersempena dengan United Nations High Level Political Forum yang bakal dilakukan secara dalam talian.

Terdahulu, UIAM memperoleh pengiktirafan PBB sebagai peneraju Pusat Kepakaran Serantau (RCE) daripada United Nation University dengan nama RCE Greater Gombak yang menekankan konsep bekerjasama dengan komuniti demi kelestarian bersama.

Berita Harian X