Sabtu, 27 Jun 2020 | 4:08pm
Zulkifli (dua dari kanan) berbual dengan Siti Zauyah Din, 56, (tiga dari kanan) yang menerima bantuan rumah Pembangunan Hartanah Wakaf di Pulau Pinang. Turut bersama Timbalan Ketua Menteri 1, Pulau Pinang yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman (kanan) dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP), Zulkifli Long. - Foto NSTP/DANIAL SAAD
Zulkifli (dua dari kanan) berbual dengan Siti Zauyah Din, 56, (tiga dari kanan) yang menerima bantuan rumah Pembangunan Hartanah Wakaf di Pulau Pinang. Turut bersama Timbalan Ketua Menteri 1, Pulau Pinang yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman (kanan) dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP), Zulkifli Long. - Foto NSTP/DANIAL SAAD

Maahad tahfiz mesti daftar jika mahu beroperasi semula

BUTTERWORTH: Institusi maahad tahfiz mesti berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri sebagai syarat beroperasi semula dalam tempoh masa terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata pendaftaran boleh dibuat melalui jabatan agama Islam atau majlis agama Islam negeri.

Katanya, pandemik COVID-19 memerlukan semua maahad tahfiz meninggalkan cara lama dan perlu mengikuti normal baharu, demi menjaga keselamatan semua.

"Kelulusan untuk mereka beroperasi berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.

"Oleh itu, pendaftaran semua maahad tahfiz yang ingin beroperasi amat penting sekali gus membantu kerajaan memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Taklimat Pembangunan Hartanah Wakaf di Pulau Pinang dan Majlis Penyerahan Bantuan Musa'adah COVID-19 di Pangsapuri Wakaf An Nur, Teluk Air Tawar, di sini, hari ini.

Sebelum itu, Zulkifli juga mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas untuk menyampaikan hasrat dan memohon izin bagi perancangan penambahbaikan perjawatan berkaitan penyelidikan dan kefatwaan.

Jelasnya, pendaftaran semua maahad tahfiz penting supaya mereka dapat menerima peruntukan daripada kerajaan setiap tahun.

"Kita sebenarnya saban tahun ada peruntukan kepada maahad tahfiz. Apabila mereka tidak berdaftar, jadi susah kita nak bagi sebab kepiawaian itu tidak kena dan syarat tidak cukup.

"Sebab itu pendaftaran ini penting dan berharap semua dapat penuhi SOP supaya sama-sama kita bergerak dalam berganding bahu dalam keadaan yang lebih tepat dan semangat serta mengikut apa yang dihasrat, ketika kita cuba menamatkan rantaian COVID-19," katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersetuju membenarkan sekolah dan madrasah tahfiz beroperasi semula.

Bagaimanapun, tarikh pembukaannya akan diumumkan oleh Kementerian Pendidikan.

Berita Harian X