Jumaat, 10 Julai 2020 | 3:11pm

Ujian tunggal ke SBP, SMKA

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan sedang menggubal ujian tunggal kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) bagi menyaring pelajar berpotensi ke Tingkatan Satu dan Empat tahun depan.

Ujian berkenaan tidak diwajibkan kepada semua murid dan hanya murid Tahun Enam atau pelajar Tingkatan Tiga yang berminat meneruskan persekolahan di SBP atau SMKA boleh memohon menduduki ujian itu.

Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim, berkata ujian itu tidak perlu diwajibkan kepada semua murid seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) atau Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) kerana guru mempunyai kaedah lain untuk menilai kemahiran anak didiknya.

"Sebelum ini sudah ada kaedah selain UPSR untuk ke SBP atau SMKA. Kita ada kayu ukur lain untuk memilih murid yang sesuai ke SBP.

"Apabila tiada UPSR, kita boleh memperkukuh kaedah ini. Kaedah baharu ini akan diumumkan kemudian kerana perbincangan masih berlaku," katanya dalam temu bual di sini, semalam.

Kementerian Pendidikan membatalkan UPSR dan PT3 pada pertengahan April lalu, berikutan penularan wabak COVID-19.

Sepatutnya kira-kira 450,000 calon dijadualkan menduduki UPSR September ini, manakala kira-kira 440,000 calon menduduki PT3.

Susulan itu pembatalan UPSR, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga membatalkan Ujian Penilaian Kelas Agama dan Fardu Ain (UPKK) tahun ini.

UPSR dan UPKK antara kayu ukur utama pemilihan murid ke SBP dan SMKA.

Ditanya mengenai kaedah untuk mengukur penguasaan murid, Habibah berkata, pentadbir boleh melaksanakan bentuk pentaksiran yang sesuai dengan sekolah masing-masing.

Katanya, setakat ini Kementerian Pendidikan tidak melarang jika ada sekolah yang mahu mengadakan peperiksaan akhir tahun atau menentukan kaedah lain untuk menilai murid.

Beliau berkata, walaupun tempoh murid bersemuka dengan guru berkurangan berikutan sekolah ditutup antara 18 Mac hingga 23 Jun, guru perlu melakukan penjajaran kurikulum, iaitu menggabung jalin kaedah bersemuka dalam kelas dengan pembelajaran di rumah.

"Guru perlu mengejar kandungan yang perlu dihabiskan tahun ini. Seboleh-bolehnya, kita tidak mahu ada murid ketinggalan sebelum naik ke tahun seterusnya.

"Guru juga perlu menganggarkan tahap penerimaan murid, sebelum meneruskan topik seterusnya.

"Jika ada yang belum menguasai tahap minimum, guru mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Pemilihan murid ke SBP atau SMKA dilakukan menerusi ujian khas. - Foto hiasan NSTP/ASYRAF HAMZAH
Pemilihan murid ke SBP atau SMKA dilakukan menerusi ujian khas. - Foto hiasan NSTP/ASYRAF HAMZAH
Berita Harian X