Khamis, 16 Julai 2020 | 10:20am
PELAJAR UMP terima biasiswa untuk mengurangkan bebab. - Foto/Ihsan UMP
PELAJAR UMP terima biasiswa untuk mengurangkan bebab. - Foto/Ihsan UMP

Pelajar pascasiswazah UMP terima biasiswa

KUANTAN: Yayasan Universiti Malaysia Pahang (UMP) memperluaskan agihan dana dengan memperkenalkan biasiswa kepada pelajar pascasiswazah bagi membantu urusan pembayaran yuran pengajian dan mengurangkan beban perbelanjaan serta wang saku.

Buat julung kalinya, seramai 20 pelajar layak menerima biasiswa Yayasan UMP (Ijazah Sarjana – Penyelidikan) sebagai pemangkin semangat untuk terus fokus dalam menjalankan eksperimen, kajian lapangan serta penerbitan jurnal sehingga tamat pengajian.

Penyerahan biasiswa itu disampaikan oleh Pengerusi Yayasan UMP, Datuk Seri Md Sharif Shamsuddin. Turut hadir Naib Canselor UMP, Prof Dr Wan Azhar Wan Yusoff; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin dan Dekan Institut Pengajian Siswazah (IPS), Prof Datin Dr Mimi Sakinah Abdul Munaim di UMP Pekan.

Dalam ucapannya, Md Sharif berharap mereka belajar bersungguh-sungguh dan menyumbang kembali kepada Yayasan UMP selepas tamat pengajian.

Katanya, dengan adanya biasiswa diharap mampu menarik minat dan menjadi pendorong ramai pelajar prasiswazah melanjutkan pengajian di peringkat pascasiswazah.

"Yayasan UMP berterima kasih kepada penyumbang daripada badan korporat, zakat dan pihak luar," katanya.

Md Sharif menasihatkan pelajar yang menamatkan pengajian dan terkesan akibat pandemik COVID-19 supaya bersabar dalam mendapatkan pekerjaan.

"Pelajar juga digalakkan mengikuti kursus sijil kompetensi dan jangka masa pendek seperti program kesihatan dan keselamatan pekerjaan, kawalan kualiti dan lain-lain," katanya

Penerima biasiswa, dari Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Siratulakma Abdul Rahman, berkata menjadi impiannya untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana selepas tamat pengajian ijazah sarjana muda.

Pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), G Surenthiran, berkata biasiswa itu penyuntik semangatnya dan mengharapkan suatu hari nanti dapat berbakti kepada keluarga, universiti dan masyarakat.

Berita Harian X