Isnin, 27 Julai 2020 | 12:12am
(Gambar fail) Datuk Norman Abdul Halim. - NSTP/SYARAFIQ ABD SAMAD
(Gambar fail) Datuk Norman Abdul Halim. - NSTP/SYARAFIQ ABD SAMAD

Norman dilantik Professor Of Practice

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Norman Abdul Halim, dilantik sebagai Professor Of Practice oleh Saito University College (Saito UC).

Surat pelantikan Norman yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat KRU itu disampaikan Naib Cancelor Saito UC, Profesor Sulong Ahmad Kamaruddin, pada majlis di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) berkenaan, baru-baru ini.

Sulong Ahmad berkata, menerusi usaha sama antara Saito UC dengan Akademi KRU, IPTS itu kini dapat menyediakan laluan akademik kepada siswazah Diploma Kemahiran (Animasi & Kesan Visual) untuk menyertai program ijazah reka bentuk dalam media digital.

Katanya, usaha sama itu memberi kelebihan kepada pelajar yang bakal diberi pendedahan kemahiran secara praktikal daripada Akademi KRU, selain kemahiran berfikir aras tinggi.

Beliau berkata, pelajar mengikuti program ijazah itu juga boleh belajar sambil bekerja kerana jadual kelas yang fleksibel, manakala sesi pertemuan dengan pensyarah diadakan pada Sabtu.

"Akademi KRU ialah sebuah kolej vokasional yang pakar dalam kemahiran berkaitan industri kreatif.

"Usaha sama ini akan memupuk inovasi dan kreativiti, memperbaiki kemahiran dan meningkatkan jumlah bakat kreatif tempatan di Malaysia, selain memberi kelebihan kepada kedua-dua pihak," katanya dalam satu kenyataan.

Berita Harian X