Jumaat, 5 September 2014 | 5:13pm

Kepimpinan muda UMNO perlu lebih lantang sampaikan pendapat - Muhyiddin

TAN Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bahagian Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh di sini hari ini. - Foto Syarafiq Abd Samad

MUAR: Kepimpinan muda dalam UMNO perlu lebih lantang dalam menyampaikan pendapat dan cadangan kepada parti bagi memastikan parti kekal relevan, kata Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, bagi memastikan parti sentiasa diterima oleh masyarakat, generasi muda perlu dapat memberi sumbangan penting berbentuk idea, pandangan, cadangan dan strategi yang sesuai bagi menghadapi cabaran masa hadapan.

"Untuk penentu masa hadapan, kita kena iktiraf pentingnya generasi muda ini kerana generasi muda jadi penentu masa depan parti, kerana masa depan negara pun bergantung pada sumbangan mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, apa sahaja jenis pembaharuan atau perubahan yang dibuat oleh parti bukan sahaja perlu bagus tetapi juga dapat diterima baik oleh golongan muda yang mewakili 60 peratus rakyat Malaysia.

TAN Sri Muhyiddin Yassin sambil diperhatikan Ketua Wanita Umno Bahagian Pagoh, Senator Datuk Noriah Mahat (dua, kanan) menandatangani plak bagi pelancaran Buletin Pergerakan Wanita UMNO bahagian Pagoh pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bahagian Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh di sini hari ini. - Foto Syarafiq Abd Samad

"Sebab itu saya mencadangkan supaya UMNO mempelopori usaha sebegitu dalam parti ini sendiri di mana anak-anak muda, baik datang daripada Pemuda, Wanita ataupun Puteri, harus berani tampil ke depan dan memberikan idea, pandangan dan cadangan tentang bagaimana hala tuju parti kita," katanya.

Muhyiddin turut menerima baik cadangan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mahukan generasi muda diberikan tempat dan peluang serta kedudukan sama ada sebagai wakil rakyat atau memegang jawatan-jawatan yang sesuai agar dapat mencerminkan kesungguhan parti itu untuk melakukan transformasi.

"Transformasi di sini bermakna membawa idea-idea bernas daripada anak-anak muda kerana mereka lebih faham kehendak dan aspirasi mereka," katanya.

Beliau juga mahu pengiktirafan kepada generasi muda ini tampak lebih nyata, diberi ruang dan peluang seluas-luasnya, terutama bagi mereka yang layak dan bukan sahaja boleh menyumbang kepada parti tetapi juga negara.

 TAN Sri Muhyiddin Yassin memeriksa perbarisan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bahagian Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh di sini hari ini. - Foto Syarafiq Abd Samad

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, dalam ucapannya, berkata kepimpinan generasi muda dalam parti bukan sahaja perlu lantang tetapi efektif dalam memastikan UMNO terus relevan selari dengan perkembangan semasa.

Beliau berkata, pemimpin parti dan kerajaan sentiasa bersedia mendengar pandangan daripada kepimpinan muda bagi memastikan sebarang perubahan dapat diterima semua lapisan masyarakat.

"Generasi hari ini yang menentukan corak perjuangan kita masa depan. Mereka penentu dan pewaris masa depan. Sehubungan itu, mereka perlu berani," katanya.

Katanya, dengan menyuarakan pendapat mereka dengan lantang dan efektif, pemimpin boleh mengatur strategi yang sesuai dan boleh dilaksanakan supaya dilihat sebagai parti yang relevan dan berkesan.

- BERNAMA

Berita Harian X