X
Ahad, 7 September 2014 | 7:25pm

Exco PAS gesa ahli, pemimpin parti hormati keputusan Hadi

EXCO PAS Selangor,Sallehen Mukhyi memberi ucapan pada Ijtima' PAS Negeri Selangor 2014 di Stadium Tertutup MPSJ, Serdang. - Foto Farizulhafiz
EXCO PAS Selangor,Sallehen Mukhyi memberi ucapan pada Ijtima' PAS Negeri Selangor 2014 di Stadium Tertutup MPSJ, Serdang. - Foto Farizulhafiz

SERI KEMBANGAN: Seorang EXCO PAS Selangor hari ini menggesa ahli serta pemimpin parti itu mencontohi tindakan dan menghormati keputusan dibuat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung kemelut Menteri Besar negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehen Mukhyi, berkata ahli PAS wajar bertenang dan mencontohi keperibadian Abdul Hadi ketika berdepan kemelut politik di Selangor, walaupun mendapat tentangan pelbagai pihak.

"Kita boleh mempunyai perbezaan pendapat dengan pucuk pimpinan PAS, tetapi masih perlu menghormati terhadap Presiden parti.

"Kita semua mahu kemelut ini diselesaikan segera, serta menggelakkan daripada berlakunya undi tidak percaya mahupun pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika mengulas mengenai senario proses peralihan kuasa antara Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan calon Menteri Besar Selangor yang baharu, pada Majlis Ijtimak PAS Selangor, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Sallehen menegaskan empat EXCO PAS Selangor menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan parti itu berkenaan kedudukan mereka selepas proses peralihan jawatan Menteri Besar Selangor yang baharu selesai.

Sallehen berkata secara dasarnya juga, kedudukan semua EXCO akan terlucut secara automatik sekiranya Menteri Besar mengambil keputusan mengosongkan jawatan.

"Bermakna, semua EXCO kerajaan negeri (daripada PAS) secara automatik akan terlucut daripada jawatan sedia ada apabila Abdul Khalid mengosongkan jawatan beliau untuk memberi laluan kepada pengantinya," katanya.

Seterusnya, beliau berkata empat EXCO ini akan menunggu arahan daripada pucuk pimpinan PAS dan andainya mahu kesemuanya tidak meneruskan khidmat, maka mereka perlu akur.

Beliau turut mengigatkan ahli PAS supaya mengelakkan membuat kenyataan yang merugikan parti, selain menghormati proses pertukaran Menteri Besar yang perlu dilakukan secara tertib dan mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri.

Berita Harian X