X
Sabtu, 13 September 2014 | 4:26pm

Mat Razi calon lengkap, terbaik - Pemimpin BN

PENGKALAN KUBOR: Pemimpin Barisan Nasional (BN) yakin calon dipertaruhkan parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor kali ini adalah calon saling melengkapi antara rakyat dan pemimpin, tawaduk serta mudah didekati pengundi.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata bekas guru, Mat Razi Mat Ail mempunyai keupayaan dan kemampuan menjadi pemimpin yang berjiwa rakyat.

"Dengan kriteria yang ada pada calon, saya yakin pilihan ini (BN) tepat. Malah dia juga mempunyai wawasan sama seperti wakil rakyat terdahulu iaitu mahu melihat kawasan ini terus maju," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada hari penamaan calon PRK DUN Pengkalan Kubor yang berlangsung di Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat, di sini, pagi tadi.

Seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata Mat Razi yang juga seorang pengasas sebuah sekolah pondok diyakini mampu menyelesaikan masalah rakyat di kawasan ini.

"Pilihan Mat Razi ini dibuat selepas BN mengambil kira semua faktor termasuk kebolehan serta penerimaan masyarakat tempatan di sini," katanya.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pula meminta pengundi di DUN Pengkalan Kubor terus kekal memilih BN bagi mengelakkan kecelaruan yang kini melanda pakatan pembangkang akan memberi kesan kepada mereka kelak.

"BN sudah membuktikan bahawa mereka adalah sebuah parti stabil dan tidak ada bercakaran sesama sendiri, tidak seperti pakatan yang sering bercakaran sesama sendiri.

"Kita lihat saja apa jadi di Selangor... hari-hari ceritanya bercakaran sesama sendiri, apakah jika ia terus berlarutan (bercakaran), maka hal kebajikan rakyat akan diambil peduli," katanya.

Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai, berkata parti itu akan turut sama bergerak bersama jentera komponen lain tanpa bagi memastikan kerusi DUN ini kekal milik BN.

Pengerusi Biro Penerangan BN, Datuk Ahmad Maslan pula berkata, jentera parti itu akan memulakan gerak kerja awal dengan memberi fokus dan tumpuan utama untuk memperkenalkan calon kepada pengundi.

Berita Harian X