Jumaat, 28 November 2014 | 6:23pm

Pemimpin UMNO perlu kekalkan sifat autentik - Perwakilan

WAKIL Pulau Pinang, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said ketika membahaskan usul pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-68 yang memasuki hari kedua hari ini, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini. - Foto BERNAMA
WAKIL Pulau Pinang, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said ketika membahaskan usul pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-68 yang memasuki hari kedua hari ini, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Seorang perwakilan di Perhimpunan Agung UMNO 2014 mengingatkan pemimpin parti itu supaya sentiasa mempamerkan sifat asli mereka apabila berinteraksi dengan rakyat.

Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said, berkata nilai autentik perlu bagi memastikan pemimpin UMNO benar-benar kembali kepada landasan perjuangan iaitu memperjuangkan nasib bangsa Melayu.

Wakil Pulau Pinang itu menyarankan ahli parti mencontohi Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak yang menunjukkan keaslian kepimpinannya apabila mendengar dan mengambil kira pandangan rakyat berhubung isu Akta Hasutan 1948.

Semalam, Najib mengumumkan bahawa akta itu tidak akan dimansuh malah akan kekal dengan cadangan peruntukan tambahan bagi memantapkan lagi undang-undang itu.

"Apabila presiden berucap tentang Akta Hasutan, terserlah 'keautentikan' (keaslian) perjuangan UMNO. Masa itu, saya tengok semua orang tumpu perhatian, tepuk tangan, riuh rendah.

"Inilah sebenarnya keaslian yang dituntut oleh rakyat pada ketika ini," katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini. - BERNAMA

Berita Harian X