Jumaat, 3 April 2015 | 7:55am
GAMBAR fail, Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said (empat dari kiri) dan Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir (dua dari kiri) bergambar bersama penerima bantuan peralatan Industri Asas Tani bagi Parlimen Permatang Pauh dan Bukit Mertajam, di Pejabat Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), Seberang Jaya, pada 22 Mac lalu. - Foto Nur Izzati Mohamad
GAMBAR fail, Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said (empat dari kiri) dan Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir (dua dari kiri) bergambar bersama penerima bantuan peralatan Industri Asas Tani bagi Parlimen Permatang Pauh dan Bukit Mertajam, di Pejabat Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), Seberang Jaya, pada 22 Mac lalu. - Foto Nur Izzati Mohamad

BN perlu kerja keras untuk tawan Permatang Pauh

BUKIT MERTAJAM: Angin Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh makin dirasai selepas Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dikemukakan Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kesalahan meliwat.

Sekali lagi lensa politik negara akan tertumpu di situ kerana kerana ia kubu kuat pembangkang, sekali gus bakal menguji kemampuan jentera Barisan Nasional (BN) jika bertanding.

Tinjauan BH dan kaji selidik penduduk pelbagai kaum mendapati BN mempunyai harapan, namun perlu berkerja keras jika berhajat menawan kerusi berkenaan.

Pakatan pembangkang masih ada bisa dan aura Anwar yang menjadi wakil rakyat sejak 1982 masih ampuh, namun dalam masa sama kepercayaan terhadap BN terutama dalam kalangan orang muda makin bertambah.

Politik Permatang Pauh dilihat melalui transformasi ketara berbanding Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu apabila, pengundi Melayu dilihat lebih neutral dalam menghakimi calon yang bertanding yang mungkin satu bonus kepada BN.

Namun, walaupun sukar meramal sokongan pengundi bukan Melayu, sudah terbukti dalam PRU-13 lalu kebanyakan saluran peti undi majoriti pengundi Cina langsung tidak memihak kepada BN.

Tambahan pula mungkin ada sentimen 'kasihan kepada nasib Anwar', desas-desus pembangkang akan meletakkan legasi Anwar di kawasan itu dengan menempatkan anak keduanya, Nurul Nuha perlu diberi perhatian.

Walaupun Nurul Nuha pendatang baru dalam politik dan miskin pengalaman, kelebihannya sebagai anak Anwar perlu diambil kira.

Bagaimanapun, kemelut pakatan pembangkang terutama isu hudud membabitkan DAP dan PAS serta perbalahan dalaman PAS juga memberi kelebihan kepada BN dan ada ramalan PAS akan bertanding jika tidak atas tiket parti, mungkin sebagai calon Bebas.

Justeru, PRK Permatang Pauh dilihat bukan laluan mudah kepada BN, namun masih ada harapan jika meletakkan calon yang tepat selain kerja keras untuk menawan kerusi ini.

Perlu diingatkan dalam suasana rakyat terkesan dengan keadaan ekonomi semasa, pakatan pembangkang pasti akan memanipulasi isu GST untuk menawan undi.

Namun, jika BN mampu menawan semula Permatang Pauh ia adalah kejayaan yang wajar dibanggakan dan sedikit sebanyak dijangka bakal merubah senario politik negara menjelang PRU-14 kelak.

Berita Harian X