Khamis, 23 April 2015 | 10:33pm

Suhaimi mahu lakar sejarah di Permatang Pauh

SUHAIMI (kanan) bersama isteri, Firyal Harlina Napiah pada Majlis Pengumuman Calon BN PRK Parlimen Permatang Pauh di Bandar Perda, Bukit Mertajam di sini hari ini. - Foto Danial Saad
SUHAIMI (kanan) bersama isteri, Firyal Harlina Napiah pada Majlis Pengumuman Calon BN PRK Parlimen Permatang Pauh di Bandar Perda, Bukit Mertajam di sini hari ini. - Foto Danial Saad

 

TERPILIH untuk mewakili Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh adalah perkara yang begitu mengejutkan Suhaimi Sabudin, 44.

Meskipun sudah berkecimpung dalam dunia politik sejak 23 tahun lalu, Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh ini nyata tidak menyangka akan menggalas tanggungjawab besar untuk mewakili BN di kerusi yang dianggap panas oleh sesetengah pihak.

Suhaimi sempat berkongsi kepada wartawan BH, Siti Sofia Md Nasir, mengenai strategi serta matlamatnya jika menerima mandat pengundi pada 7 Mei ini.

 

S: Apa perasaan saudara selepas dipilih sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh, yang disifatkan paling panas di Malaysia?

J: Alhamdulillah, saya sebenarnya begitu terkejut dengan pemilihan ini kerana saya baharu dimaklumkan oleh parti pagi tadi. Saya berserah dengan takdir yang ditentukan Allah kepada saya. Bagaimanapun, saya mengharapkan kerjasama yang diberikan oleh akar umbi dalam memastikan kemenangan BN di Permatang Pauh. Dengan semangat juang yang ditunjukkan kawan-kawan di dalam jentera BN, saya rasa tidak mustahil untuk kita melakar sejarah dalam PRK ini.

 

S: Apakah pendekatan yang akan digunakan saudara sepanjang kempen di PRK Permatang Pauh?

J: Seperti biasa, saya akan turun menemui pengundi di setiap ceruk kawasan Permatang Pauh. Permatang Pauh ini adalah kawasan yang tidak asing kepada saya kerana saya dilahirkan dan membesar di sini sehingga sekarang. Bagi saya, tugas untuk bertemu pengundi ini adalah rutin biasa saya sejak menjadi ahli UMNO dari tahun 1992. Namun, untuk kempen kali ini, ia akan diperhebatkan dan akan turut disertai jentera BN.

 

S: Adakah saudara bersedia dengan taktik pakatan pembangkang yang menggunakan serangan peribadi dalam kempen mereka?

J: Melalui pengalaman saya sewaktu membantu UMNO dan BN menghadapi beberapa PRK dan Pilihan Raya Umum (PRU), saya sedia maklum berhubung cara pakatan pembangkang berkempen. Mereka akan menyerang peribadi calon untuk melemahkan semangat. Oleh itu, saya sudah mempersiapkan mental untuk menghadapi serangan mereka. Saya sudah sedia untuk terima apa juga rintangan.

 

S: Bagaimana saudara melihat sokongan daripada peringkat akar umbi? Adakah akan wujud unsur sabotaj di peringkat dalaman parti?

J: Saya tidak melihat isu sabotaj sebagai isu utama dalam kempen ini. Saya percaya dan amat yakin semua ahli akar umbi bersatu untuk memastikan kemenangan BN. Unsur sabotaj tiada dalam UMNO. Apa yang penting, UMNO Bahagian Permatang Pauh sudah lama bersedia mental dan fizikal untuk berhadapan dengan parti lawan. Fokus utama kita adalah untuk menepis dakyah pakatan pembangkang yang akan menggunakan pelbagai isu dalam kempen mereka

 

S: Apa yang saudara boleh tawarkan kepada pengundi sekiranya terpilih sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh?

J: Saya dapati Permatang Pauh amat memerlukan pembangunan infrastruktur baharu. Permatang Pauh boleh diibaratkan sedikit tertinggal berbanding kawasan lain. Insya-Allah jika terpilih untuk menang, saya akan memberi tumpuan kepada beberapa kemudahan dan pembangunan ekonomi untuk rakyat seperti membangunkan industri kecil dan sederhana, industri pelancongan serta pertanian. Saya yakin pengundi Permatang Pauh dapat membuat penilaian yang baik nanti.

Berita Harian X